Search

KOTA KINABALU: Seramai 6,417 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Sabah dihantar pulang ke negara asal masing-masing sepanjang tahun ini menerusi program pemindahan dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.

Terbaharu, seramai 285 warga Filipina dihantar pulang semalam menggunakan feri komersial dari Pelabuhan Pemeriksaan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina.

JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar.

Katanya, kumpulan itu membabitkan 129 lelaki dewasa, 71 wanita dewasa, 40 kanak-kanak lelaki dan 45 kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 63 tahun.

“Semua kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

“Sebelum itu, pada 20 Oktober lalu, dua lelaki warga China turut dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Guangzhou, China,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah memaklumkan, daripada keseluruhan 6,417 PATI yang dihantar pulang setakat ini, seramai 4,288 adalah warga Filipina, diikuti Indonesia (1,789), China (141), Pakistan (137), Vietnam (29) dan 33 lagi daripada pelbagai negara.

Menurutnya, semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah sebelum dibenarkan pulang ke negara asal.

“JIM Sabah akan terus komited melaksanakan program pemindahan tahanan PATI bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji PATI, selain menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan melalui saluran rasmi JIM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO). – Info X