Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

November 2, 2026

Info X Reporters

Penunggang motosikal maut bertembung kereta

PAPAR: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 30, Lebuh Raya Pan Borneo, laluan Papar – Beaufort, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 54 tahun mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton S70 yang dipandu lelaki berusia 24 tahun bersama seorang penumpang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Beaufort. Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Lagenda ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan kereta berkenaan. “Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan sehingga mangsa terjatuh di atas jalan raya. “Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Heryan berkata, pemandu dan penumpang Proton S70 berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. “Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keadaan selamat sebelum memasuki atau melintasi laluan kenderaan lain,” katanya. Sementara itu, beliau menambah, pemandu dan penunggang motosikal juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap pergerakan kenderaan di sekeliling, mengekalkan jarak keselamatan yang bersesuaian serta mengelak sebarang tindakan berisiko yang boleh mengundang kemalangan. “Ingatlah, kecuaian sesaat mampu meragut nyawa dan meninggalkan kesedihan yang berpanjangan kepada keluarga. “Utamakan keselamatan kerana setiap perjalanan membawa harapan untuk pulang dengan selamat,” katanya. – Info X

November 1, 2026

Info X Reporters

BIGSABAH Sale 2026 menutup tirai dengan fokus terhadap keusahawanan dan perdagangan wilayah

KOTA KINABALU: BIGSABAH Sale 2026 menutup tirai pada Ahad setelah berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini. Acara jualan terbesar di Sabah itu menghimpunkan usahawan, perniagaan dan pengguna sebagai platform keusahawanan, jaringan perniagaan dan peluang pasaran wilayah. Majlis penutupan disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Josie Lai selaku wakil menterinya, Datuk Jafry Arifin. Bermula Jumaat lalu dengan tema ‘Across Markets, Beyond Borders’, acara itu mengetengahkan lebih 300 pempamer di lebih 600 gerai, dengan penyertaan membabitkan perniagaan dan wakil dari sembilan negara. Acara tahun ini bukan saja menumpukan aktiviti pameran untuk pengguna, malah turut menumpukan libat urus perniagaan ke perniagaan (B2B), pembangunan keusahawanan dan peluang menyertai perniagaan untuk menghubungkan pembeli berpotensi, pengedar, peruncit dan rakan strategik. Antara yang ditumpukan ialah program Trade Connect yang membawa bersama 60 pedagang dan mewujudkan peluang untuk kerjasama dengan komuniti perniagaan tempatan Sabah. Menurut, Pengerusi Penganjur BIGSABAH Sale 2026, Datuk Rosmawati Lasuki, program itu sudah menjana prospek perniagaan yang menggalakkan, termasuk dua kerjasama komersial berpotensi. “Antara cerita kejayaan program ini ialah Ruru Mushrooms dari Filipina yang diwakili Ms, berjaya mengenal pasti satu pengedar berpotensi di Sabah melaluiibat urus dengan Ayuhous Sdn Bhd, sekali gus membuka laluan kepada produknya untuk memasuki pasaran tempatan. “Kedua-dua pihak melihat ke hadapan untuk meralisasikan kerjasama mereka secara rasmi melalui memorandum persefahaman (MoU),” katanya. Sementara itu, katanya Greentech Feed Co Ltd from Thailand, yang diwakili Ms Sujitra, berjaya dihubungkan dengan komuniti pertanian di Sabah melalui Sifu Jessie Ambakon dari KebunDapur. Katanya, libat urus seterusnya dijangka membabitkan perbincangan dengan petani tempatan bagi meneroka peluang untuk produk makanan burung keluaran syarikat berkenaan. “Hasil awal ini menunjukkan bagaimana Trade Connect menterjemahkan jaringan perniagaan kepada rakan komersial berpotensi, akses pasaran dan peluang baharu kepada usahawan tempatan,” katanya. Beliau berkata, jawatankuasa penganjur menyasarkan untuk membina atas usaha itu dengan membangunkan BIGSABAH Sale kepada perdagangan yang lebih komprehensif dan pasar pengguna, dengan penyertaan wilayah yang lebih besar dan peluang hubungan komersial jangka panjang. Sementara itu, Jafry dalam ucapan penutupannya menekankan kepentingan mengukuhkan keusahawanan, memperbaiki daya saing perniagaan dan meluaskan akses pasaran sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi Sabah. Katanya, perniagaan tempatan, termasuk yang beroperasi dalam komuniti luar bandar mesti terus berinovasi, berdepan teknologi dan memperbaiki produk mereka dan perkhidmatan untuk kekal berdaya saing dalam keadaan perubahan pasaran. “Kerajaan negeri terus menyokong keusahawanan melalui pelbagai inisiatif, termasuk peruntukan RM5 juta untuk Program Keusahawanan Negeri, RM16.86 juta untuk menyelaras penyertaan dalam ekspo domestik dan antarabangsa serta RM15 juta untuk Program SME-UP Assistance di bawah Belanjawan Sabah 2026,” katanya. BIGSABAH Sale 2026 dilancarkan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun selaku wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Sabtu. Hajiji dalam ucapannya turut menekankan potensi lokasi strategik Sabah dalam wilayah BIMP-EAGA untuk menyokong libat urus perdagangan dan kerjasama wilayah yang luas. BIGSABAH Sale turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi merentas perkhidmatan hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, makanan dan minuman, logistik dan acara. Sejajar dengan Tahun Melawat Sabah 2027, acara itu juga menekankan peluang untuk mengukuhkan hubungan di antara pelancongan, perdagangan dan keusahawanan dengan mempromosi barangan keluaran tempatan, kepelbagaian budaya Sabah dan perniagaan berasaskan komuniti. Penganjurnya mahu BIGSABAH Sale dibangunakan menjadi perdagangan dan pasar pengguna yang diakui di ASEAN Timur dengan edisi akan datang bakal mengetengahkan penyertaan wilayah, pemadanan perniagaan dan peluasan pasaran yang lebih besar. – Info X

November 1, 2026

Info X Reporters

Terowong Sepanggar gelap, bahaya kepada pengguna – Warisan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah digesa supaya mengambil tindakan segera memeriksa dan membaiki sistem pencahayaan di Terowong Sepanggar, dekat sini, berikutan keadaannya yang gelap dan berbahaya kepada pengguna. Ketua Bahagian Parti Warisan Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata keadaan di dalam terowong itu terlalu gelap walaupun pada waktu siang. “Bayangkan bagaimana pula keadaan pada waktu malam? Situasi ini bukan saja menyukarkan penglihatan pengguna jalan raya, malah boleh meningkatkan risiko kemalangan yang berpotensi meragut nyawa. “Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan serius atau kehilangan nyawa, barulah pihak berwajib mahu bertindak. Keselamatan pengguna jalan raya sepatutnya menjadi keutamaan, bukannya hanya diberikan perhatian selepas berlakunya tragedi. “Saya mendesak DBKK dan JKR supaya segera menyelaras tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing, menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pencahayaan terowong dan memastikan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan tanpa berlengah. “Sekiranya pembaikan memerlukan masa, langkah keselamatan sementara perlu dilaksanakan bagi melindungi pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, sikap sambil lewa dalam aspek penyelenggaraan infrastruktur awam tidak boleh dibiarkan kerana akhirnya dibayar dengan nyawa rakyat sedangkan akyat berhak menggunakan jalan raya yang selamat. “Saya berharap pihak berwajib memandang serius teguran ini dan mengambil tindakan segera sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku,” katanya. – Info X

November 1, 2026

Info X Reporters

Pembinaan di Gunung Kinabalu dapat kelulusan, projek wajib patuhi syarat ditetapkan – Jafry

KOTA KINABALU: Pembinaan struktur bangunan di Gunung Kinabalu yang tular di media sosial baru-baru ini disahkan sebagai sebahagian daripada projek Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) yang mendapat kelulusan pihak berkuasa. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata projek itu bertujuan meningkatkan kemudahan pendakian gunung tanpa mengabaikan aspek pemuliharaan alam sekitar dan kepentingan budaya di Gunung Kinabalu. Beliau berkata, pembangunan itu membabitkan penyediaan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus di altitud tinggi dan aktiviti pendakian gunung. “Ini bukan pembangunan yang baru dirancang atau tanpa perancangan. HATC pada asalnya dicadangkan menerusi Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015, namun pelaksanaannya ditangguhkan berikutan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun berkenaan. “Inisiatif itu kemudiannya diaktifkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 sebagai sebahagian daripada usaha Sabah mempelbagaikan produk pelancongan serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendakian gunung yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Jafry menegaskan projek berkenaan sudah memperoleh kelulusan yang diperlukan daripada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah selain mendapat sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu. Katanya, penglibatan badan penasihat adat itu mencerminkan kepentingan menghormati nilai budaya dan kerohanian Gunung Kinabalu kepada masyarakat pribumi. “Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia adalah sebahagian daripada warisan alam semula jadi dan budaya Sabah yang penting dan mempunyai hubungan erat dengan tradisi, kepercayaan serta identiti masyarakat pribumi kita. “Sebarang pembangunan di kawasan ini mesti mengiktiraf dan menghormati nilai berkenaan. Peluang ekonomi dan kemajuan sektor pelancongan tidak boleh sesekali mengorbankan warisan budaya kita,” katanya. Mengulas kebimbangan mengenai kesan pembinaan itu terhadap alam sekitar, Jafry menjelaskan pembangunan berkenaan menggunakan bahan binaan ringan, pasang siap dan modular bagi meminimumkan gangguan terhadap persekitaran sekeliling. Struktur berkenaan, katanya direka bentuk untuk menahan tiupan angin kencang serta keadaan cuaca mencabar di kawasan altitud tinggi, selain mengelakkan penggunaan jentera berat sepanjang kerja pembinaan. “Kaedah pembinaan ini dipertimbangkan dengan teliti bagi meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar, di samping memastikan kemudahan berkenaan kukuh dari segi struktur dan sesuai dengan keadaan di altitud tinggi. “Perlindungan alam sekitar kekal menjadi keutamaan asas. Kita tidak akan berkompromi terhadap keutuhan ekologi Gunung Kinabalu demi pembangunan pelancongan,” katanya. Jafry turut menegaskan kementeriannya akan memastikan semua aktiviti pembinaan mematuhi sepenuhnya spesifikasi yang diluluskan, keperluan alam sekitar serta undang-undang dan peraturan berkaitan. “Walaupun projek ini sudah memperoleh kelulusan yang diperlukan, ia tidak mengecualikan mana-mana pihak daripada mematuhi syarat yang ditetapkan, spesifikasi teknikal serta keperluan kawal selia. “Kementerian akan memastikan semua spesifikasi yang diluluskan dipatuhi sewajarnya dan pelaksanaan projek kekal selaras dengan piawaian alam sekitar serta keselamatan yang ditetapkan bagi kawasan warisan alam semula jadi yang sensitif dan mempunyai kepentingan antarabangsa seperti ini. “Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat ditetapkan atau gagal mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan,” katanya. Beliau berkata, kementeriannya turut menimbangkan pelaksanaan siasatan menyeluruh dengan kerjasama Taman-Taman Sabah serta pihak berkuasa berkaitan bagi mengesahkan semua aktiviti pembinaan dilaksanakan sepenuhnya mengikut keperluan yang berkuatkuasa. “Kita memandang serius kebimbangan yang disuarakan orang ramai. Kementerian akan menimbangkan siasatan menyeluruh bagi memastikan sama ada semua spesifikasi yang diluluskan, langkah perlindungan alam sekitar serta syarat kawal selia dipatuhi sepenuhnya. “Saya ingin menegaskan bahawa kelulusan awal bukan bermaksud kebenaran tanpa batas untuk melaksanakan pembangunan. Setiap peringkat pelaksanaan mesti tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan syarat yang mengawal perlindungan Gunung Kinabalu. “Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang diperlukan mengikut undang-undang. Tanggungjawab kita bukan sekadar memudah cara pembangunan, tetapi memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan dengan akauntabiliti sepenuhnya,” katanya. Jafry menjelaskan, HATC bertujuan menyediakan persekitaran latihan khusus kepada pendaki gunung yang membuat persediaan untuk ekspedisi ke destinasi altitud lebih tinggi, termasuk Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Gunung Everest. Kemudahan itu, katanya akan menyokong proses penyesuaian tubuh terhadap altitud, latihan teknikal pendakian gunung serta pendedahan kepada penggunaan peralatan pendakian khusus, sekali gus membuka peluang kepada komuniti pendaki tempatan dan antarabangsa. Katanya, Gunung Kinabalu mempunyai kelebihan tersendiri berikutan aksesibilitinya, infrastruktur pendakian yang sedia ada serta landskap geologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. “Dengan kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu menawarkan persekitaran latihan pendakian khusus yang lebih mudah diakses dan menjimatkan kos. “HATC turut membuka peluang untuk menarik kelab serta organisasi pendakian gunung antarabangsa, sekali gus mewujudkan manfaat ekonomi tambahan kepada masyarakat setempat dan industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya. Beliau menambah, inisiatif berkenaan turut menyokong matlamat lebih luas Kinabalu UNESCO Global Geopark melalui penggalakan geopelancongan secara bertanggungjawab, kesedaran alam sekitar serta pembangunan pelancongan mampan. Bagaimanapun, Jafry menegaskan semua aktiviti pembangunan mesti kekal selaras dengan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk melindungi alam semula jadi dan warisan budaya Gunung Kinabalu. Beliau turut mengakui kebimbangan yang disuarakan pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan serta orang ramai susulan penyebaran gambar aktiviti pembinaan di gunung berkenaan. “Saya mengalu-alukan keprihatinan dan minat orang ramai dalam usaha melindungi Gunung Kinabalu. Keprihatinan sedemikian mencerminkan rasa tanggungjawab dan pemilikan yang tinggi dalam kalangan rakyat Sabah terhadap warisan alam semula jadi yang luar biasa ini. “Bagaimanapun, perbincangan awam juga perlu berpandukan maklumat tepat serta pemahaman jelas mengenai tujuan dan skop pembangunan berkenaan. “Projek ini bertujuan menambah baik kemudahan asas pendakian menerusi pendekatan terkawal dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, di samping menghormati tradisi budaya yang berkaitan dengan gunung ini,” katanya. Jafry menegaskan semula komitmen Kerajaan Sabah untuk memastikan pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar bergerak seiring. “Pendekatan kita jelas. Pembangunan tidak boleh sesekali mengorbankan usaha pemuliharaan, begitu juga kemajuan tidak boleh mengetepikan nilai budaya dan tradisi masyarakat kita. “Gunung Kinabalu adalah lambang identiti Sabah serta warisan alam semula jadi yang mempunyai kepentingan di peringkat antarabangsa. Tanggungjawab kita adalah melindungi keutuhannya, sambil memastikan sebarang penambahbaikan yang dilaksanakan mempunyai tujuan bermakna dan mampan. “Kita perlu mencari keseimbangan tepat antara kemajuan dan pemeliharaan kerana nilai sebenar Gunung Kinabalu bukan hanya terletak pada potensi pelancongannya, tetapi juga pada warisan alam semula jadi dan budaya yang perlu kita pelihara untuk generasi akan datang,” katanya. – Info X

November 1, 2026

Info X Reporters

25 mangsa banjir empat keluarga dipindahkan di Sipitang

SIPITANG: Seramai 25 mangsa banjir membabitkan empat keluarga dipindahkan ke Dewan Mesapol selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Bebangkong Mesapol, di sini, awal pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Desmond Anak Mickey berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.42 pagi. Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dan bot penyelamat dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemindahan mangsa. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.55 pagi dan mendapati kawasan berkenaan dilanda banjir. “Operasi pemindahan membabitkan empat keluarga dijalankan menggunakan sebuah bot penyelamat sebelum semua mangsa dibawa ke Dewan Mesapol,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa, kanak-kanak serta seorang bayi perempuan. Beliau berkata, operasi berkenaan turut mendapat bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). “Pemantauan dan operasi pemindahan masih dijalankan mengikut keadaan semasa di lokasi. “Maklumat lanjut berhubung perkembangan banjir akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

October 31, 2026

Info X Reporters

Pokok tumbang hempap empat kereta

KOTA KINABALU: Empat kereta dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Fung Yei Ting, berhampiran Gereja True Jesus, di sini, malam ini. Dalam kejadian itu, empat kenderaan terbabit ialah dua Proton Saga FLX dan dua Proton Persona. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terperangkap atau mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 malam sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi. Katanya, pasukan bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati sebatang pokok tumbang menghempap empat kenderaan berkenaan. “Pemeriksaan mendapati tiada mangsa terperangkap dalam mana-mana kenderaan. “Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap kenderaan terbabit,” katanya. Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Setakat laporan awal dikeluarkan, kerja mengalihkan pokok tumbang masih dijalankan. – Info X

October 31, 2026

Info X Reporters

Liga Super: ‘Panas’ dalam hujan di Likas, 3 mata di tangan Sang Badak

KOTA KINABALU: Sang Badak menambah tiga mata setelah memenangi aksi Liga Super 2-0 menentang Terengganu FC yang berlangsung dalam suhu ‘panas’ meskipun dibasahi hujan di Stadium Likas, malam ini. Perlawanan yang dilewatkan hampir setengah jam disebabkan hujan lebat petang tadi itu ‘panas’ berikutan insiden pergaduhan yang berakhir dengan layangan kad merah terhadap pemain pelawat pada minit-minit akhir babak pertama. Insiden tidak diingini itu berlaku selepas pemain Terengganu, Romel Oswaldo Morales dilihat mengasari beberapa pemain Sabah, termasuk menjatuhkan penjaga gol, Juan Flere hingga terbaring kesakitan di padang. Insiden itu memaksa pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah melayangkan kad merah terhadap Morales, menyebabkan Terengganu kekurangan seorang pemain sehingga tamat perlawanan. Sebelum itu, Tuan Mohd Yaasin turut menyemak video bantuan pengadil (VAR) bagi mengesahkan kad merah yang dilayangkan terhadap Morales akibat kekasaran yang dilakukannya. Ketika insiden itu, pasukan tuan rumah sudah mengukuhkan kedudukan dengan dua gol, masing-masing dijaringkan Enrique Lopez Fernandez pada minit ke-19 dan Gonzalo Ignacio Di Renzo pada minit ke-24. Gol pertama Sabah yang dijaringkan Fernandez terhasil akibat kesilapan pemain pertahanan dan penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin gagal menghalang bola yang datang dari arah tengah padang. Lebih malang, Mohd Suhaimi yang meluru ke depan untuk menyelamatkan keadaan terlepas bola sebelum melantun ke arah gawang yang ditinggalkan di belakangnya. Skuad Sang Badak bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan bermain dengan 11 orang berbanding 10 pemain lawan pada babak kedua untuk menambah jaringan. Pasukan Terengganu yang mengubah strategi perlawanan dan lebih agresif pada babak kedua juga gagal mencipta jaringan bagi menafikan kemenangan tuan rumah menyebabkan kedudukan kekal 2-0 yang memihak kepada Sabah hingga tamat perlawanan. Perlawanan itu dijadual bermula pada jam 5 petang tadi, namun dilewatkan berikutan hujan lebat di ibu negeri, petang tadi. Hujan renyai-renyai juga berterusan sepanjang perlawanan menyebabkan padang licin dan berair, sekali gus menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan. – Info X

October 31, 2026

Info X Reporters

Bantu PKS tangani cabaran perniagaan – KM

KOTA KINABALU: Agensi kerajaan perlu bekerjasama dengan institusi kewangan, persatuan industri dan sektor swasta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangani cabaran perniagaan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Sabah kerana sektor itu mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi sumber pendapatan masyarakat di bandar, daerah serta kawasan luar bandar. “Namun, banyak PKS masih berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada pembiayaan, teknologi dan pasaran yang lebih luas, manakala peningkatan kos terus memberi tekanan kepada operasi perniagaan mereka,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian BIGSABAH Sale di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu. Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Sementara itu, Hajiji berkata, penggunaan teknologi digital mampu membantu perniagaan mengatasi kekangan jarak dan lokasi. “Menerusi e-dagang, media sosial dan pembayaran digital, usahawan di kawasan luar bandar Sabah juga mampu menjangkau pelanggan di luar komuniti mereka. “Kita juga perlu memastikan golongan wanita, belia dan perusahaan berasaskan komuniti mendapat sokongan serta peluang yang diperlukan untuk terus berkembang,” katanya. Hajiji berkata, penganjuran acara seperti BIGSABAH Sale 2026 yang menghimpunkan pempamer dari 12 negara dan sembilan negeri di Malaysia dapat membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka. Katanya, kedudukan strategik Sabah dalam kawasan BIMP-EAGA menawarkan peluang perdagangan dengan Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian, pengeluaran makanan, logistik dan perkhidmatan. “Bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, perniagaan tempatan perlu terus meningkatkan kualiti produk, penjenamaan dan pembungkusan. “Produk makanan tempatan, kraftangan, hasil pertanian dan perkhidmatan kita mempunyai potensi pasaran yang jauh lebih luas, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di luar negeri ini,” katanya. Ketua Menteri turut berharap penyertaan pempamer dari luar negara dan Semenanjung dapat membantu mewujudkan hubungan perdagangan yang berkekalan, peluang pengedaran produk serta pelaburan. “Kita mahu melihat penglibatan perniagaan dengan perniagaan (B2B) yang lebih kukuh dapat membantu usahawan kita melangkaui sekadar mempamerkan produk kepada menjalin kerjasama strategik yang menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya. Hajiji berkata, ketika kerajaan negeri berusaha mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat pada 2026 dan membuat persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, keutamaan perlu diberikan bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan turut memberi manfaat kepada rakyat tempatan. “Pertambahan jumlah pelawat seharusnya membawa lebih banyak peluang kepada peruncit, pengeluar makanan, penyedia perkhidmatan dan perniagaan berasaskan komuniti di Sabah. “Di sinilah BIGSABAH Sale dapat menyumbang kepada usaha tersebut. Kehadiran pempamer, pembeli dan pengunjung akan meningkatkan permintaan terhadap penginapan, pengangkutan, makanan serta pelbagai perkhidmatan tempatan. “Manfaatnya juga boleh berterusan selepas acara ini berakhir apabila sesuatu pertemuan membawa kepada tempahan pembelian, perjanjian pengedaran atau pelaburan baharu,” katanya. Hajiji turut menggalakkan semua pempamer supaya memanfaatkan peluang itu untuk bertemu pembeli, bertukar-tukar idea dan menjalin kerjasama perniagaan. “Semoga tema ‘Across Markets, Beyond Borders’ menjadi inspirasi kepada usahawan Sabah untuk melangkah lebih jauh dengan penuh keyakinan. “Tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur dan semua rakan kerjasama atas penganjuran BIGSABAH Sale 2026. Saya berharap acara ini memberikan hasil yang produktif dan kejayaan kepada semua pihak,” katanya. – Info X