PENAMPANG: Datuk Albert F. Tokuzip dipilih menerajui Kadazan Society Sabah (KSS) sebagai Presiden bagi penggal 2026-2029 selepas pemilihan pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (Triennial Delegates Conference), semalam.
Persidangan yang diadakan di Super 7 Restaurant and Lounge, Jalan Bundusan, di sini, pada 24 Oktober itu dihadiri perwakilan dari semua cawangan KSS di Sabah serta ahli Majlis Tertinggi persatuan berkenaan.
KSS dalam kenyataannya memaklumkan pemilihan yang diadakan setiap tiga tahun itu berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni bagi memilih barisan kepimpinan baharu untuk penggal berkenaan.
Hector Jintoni dan Batholomew Jingulam dilantik sebagai Timbalan Presiden, dengan Jingulam memegang jawatan itu menerusi pelantikan khas.

Sembilan individu pula dilantik sebagai Naib Presiden, iaitu Anastasia Modili, Philip Mosinoh, Ernest Mojikon, Dato’ Seri Dr Adalbert Kinson, Datuk Richard Jomiji, OKK Benedict Malanjum dan Helen Palait.
Seramai 13 ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang dilantik ialah Athanasius John Staun atau Ahmad Staun, Diana Jikuil, Dusinol Ottung, Walter Juming, Mary Joan Puvok, Eddie Angat, Jane Manjaji, Willybroad Johnny Sieng, James Molijoh, Jessica Jeffery, John Mojiun, Syra George Mokunjil dan Lester Calvin Miol.

Daniel Roman dan Janet Lajaip turut disenaraikan sebagai ahli Majlis Tertinggi dalam kenyataan rasmi KSS.
Dalam perkembangan sama, Humfrey J Suimin dilantik sebagai Bendahari Agung dengan bantuan Sheena James Bonok.
Blasius Binjua pula dilantik sebagai Setiausaha Agung, menggantikan Jingulam yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden, manakala Danny Madalus dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung.
Dalam ucapannya, Albert berkata beliau berpuas hati dengan keputusan pemilihan yang menggabungkan golongan muda dan pemimpin berpengalaman demi kepentingan masyarakat Kadazan.
Beliau berkata, masyarakat Kadazan mempunyai kepelbagaian kaum, budaya, etnik dan agama, termasuk melalui perkahwinan campur serta keturunan yang terhasil daripadanya.
Katanya, kepelbagaian itu turut membentuk generasi baharu rakyat Malaysia dari Sabah yang kini tersebar di seluruh dunia.
Sementara itu, Blasius yang juga penulis Kadazan berikrar akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Presiden dan KSS dalam melaksanakan tanggungjawab persatuan.
Beliau berkata, usaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam persatuan perlu menjadi keutamaan, selain memperkukuh kerjasama dengan persatuan lain tanpa mengabaikan usaha memelihara bahasa, budaya dan identiti sendiri.
Katanya, aspirasi berkenaan semakin mencabar dalam era perubahan yang berlaku pada kadar luar biasa pantas, sekali gus menuntut komitmen berterusan semua pihak.-Info X
