Search

Jangan biarkan perbezaan pandangan politik, isu jejas hubungan kerajaan dan media

October 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan dan pengamal media perlu saling menghormati tanggungjawab masing-masing dalam usaha mencapai matlamat bersama untuk membangunkan Sabah dan Malaysia.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Caesar Mandela Malakun berkata, perbezaan pandangan mengenai politik dan isu lain tidak seharusnya menjejaskan hubungan antara kedua-dua pihak.

Katanya, komunikasi secara terbuka dan jujur serta dialog yang membina amat penting dalam usaha pembangunan negeri dan negara.

“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya mengakui bahawa wartawan mempunyai tugas yang penting.

“Tanggungjawab anda adalah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan mengemukakan soalan. Itu tanggungjawab anda dan kami menghormatinya.

“Pada akhirnya, perkara paling penting ialah kita perlu bersetuju bahawa segala usaha ini adalah untuk membangunkan negara, membangunkan Sabah dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Persahabatan Pool dan Dart MedComm KK yang julung kali diadakan di Kota Kinabalu, malam tadi.

Caesar berkata, kerajaan negeri menghargai laporan yang adil serta kritikan membina sebagai sebahagian daripada peranan media dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat.

Menurutnya, hubungan antara kerajaan dan media juga boleh diperkukuhkan melalui aktiviti santai di luar majlis serta mesyuarat rasmi kerana ia memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk lebih memahami dan menghormati antara satu sama lain.

“Kadangkala kita terlupa bahawa bermain bersama seperti ini dan menikmati masa bersama sebenarnya membawa makna yang jauh lebih besar, malah seribu kali lebih bermakna daripada segala urusan kerja kita,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kelab Rekreasi Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedComm KK) atas kejayaan menganjurkan kejohanan itu yang menghimpunkan hampir 200 peserta.

Kejohanan berkenaan turut disertai pengamal media dari Semenanjung Malaysia serta wakil pelbagai agensi kerajaan.

Hadir sama Naib Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Datuk Farrah Naz Karim; Bendahari NPC, Sharanjit Singh dan Pengerusi MedComm KK, Christopher Maskilon. – Info X