TENOM: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) 2026 yang diadakan di daerah ini berjaya mencapai sasaran jualan RM1 juta, dengan kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata HPPNS turut membuka peluang kepada kementerian untuk mendekati golongan peladang, petani, penternak, nelayan dan pekebun getah bagi memahami cabaran serta keperluan mereka.
Beliau berkata, sesi libat urus akan diadakan antara kementeriannya dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi meneliti maklum balas yang diterima sepanjang program itu.
“Selama empat hari, dari pagi hingga petang, saya bersama pegawai-pegawai mendengar keluhan dan aspirasi mereka, bukan sahaja yang sudah berjaya tetapi juga yang masih belum berjaya.
“Kita akan memperhalusi segala dapatan ini untuk menambah baik program di peringkat kementerian, jabatan dan agensi supaya impaknya lebih berkesan kepada kumpulan sasaran masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan HPPNS 2026 di Padang Pekan Tenom, pada Ahad.
Jamawi berkata sambutan terhadap aktiviti lelongan ternakan turut menggalakkan, termasuk lelongan sepasang lembu baka Brahman Cross yang dibawa dari Australia.

Katanya, pasangan lembu itu yang ditawarkan pada harga permulaan RM3,300 berjaya dilelong pada harga kira-kira RM7,700.
Beliau berkata lelongan kira-kira 16 ekor kambing pada hari sebelumnya juga mendapat sambutan baik, dengan harga jualan purata mencecah RM1,200 bagi kambing berusia lapan bulan, berbanding harga biasa sekitar RM800 hingga RM900.
“Ini menunjukkan bahawa industri penternakan, jika dilaksanakan dengan sebaik mungkin, mampu menjadi sumber pendapatan yang baik kepada penternak,” katanya.
Jamawi turut menggalakkan golongan muda menceburi sektor agromakanan yang mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Beliau berkata terdapat peniaga yang mencatatkan jualan RM30,000 sepanjang tiga hari program itu, manakala yang lain merekodkan jualan mencecah RM25,000, RM15,000 dan RM10,000.
“Rata-rata peniaga mencatatkan jualan sekurang-kurangnya RM5,000. Inilah potensi sebenar sektor agromakanan, termasuk pertanian, perikanan dan industri makanan, yang mampu memberikan pulangan baik kepada masyarakat tani kita, terutama di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata kementerian akan terus berusaha meningkatkan kadar sara diri (SSL) bagi tanaman makanan serta memperkukuh keterjaminan makanan Sabah.
Mengenai kehadiran pengunjung, Jamawi berkata kira-kira 25,000 orang direkodkan sehingga semalam, dengan tambahan antara 5,000 hingga 6,000 pengunjung pada Ahad.
Beliau turut menganggarkan antara 500,000 hingga 600,000 tontonan bagi siaran langsung acara berkenaan menerusi media sosial.
Katanya, kira-kira 270 gerai jualan dikendalikan oleh kementerian, Majlis Daerah Tenom dan pihak berkaitan pembangunan kopi Tenom, sekali gus membantu merancakkan aktiviti ekonomi sepanjang HPPNS 2026.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Pembantu Menteri MAFFI, Datuk Ruslan Muharam; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jifrin Mohamad; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; dan bekas Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Robert Stidi.
Turut hadir penolong-penolong Pegawai Daerah Tenom dan Pejabat Daerah Kecil Kemabong; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Pengurus-pengurus besar bersama Timbalan Jabatan dan agensi MAFFI, Kerajaan Negeri serta Persekutuan; Ketua-ketua Jabatan dan pemimpin setempat DUN Melalap.
Dalam acara berasingan, Jamawi turut menyempurnakan perasmian Tenom Town Autoshow 2026 yang disertai seramai 100 peserta di Kompleks Sukan Tenom. – Info X
