Search

PLRNS FC juara Piala Komandan Liga Enam Penjuru

October 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PLRNS FC muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Komandan Liga Enam Penjuru selepas menampilkan aksi cemerlang dengan mengumpul 15 mata tanpa kalah dalam pertandingan yang berlangsung di Padang Bola Sepak Pusat Latihan RELA Negeri Sabah (PLRNS), pada 24 Oktober lalu.

Pasukan itu turut mencatat rekod 16 jaringan gol tanpa bolos dan tanpa seri untuk muncul juara kejohanan yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 8 malam itu.

Tambalut FC menduduki tempat kedua dengan 10 mata, manakala Parent Jaguar FT (PJFT) di tempat ketiga, turut mengumpul 10 mata.

Kejohanan itu membabitkan enam pasukan, iaitu PLRNS FC, Depot Imigresen Kota Kinabalu (DIKK), MKN ICU, Tambalut FC, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan PJFT.

Majlis penyampaian hadiah kepada pasukan yang menduduki tiga tempat teratas disempurnakan Komandan PLRNS, PPjR Mohd Rosdin Daming.

Kejayaan PLRNS FC turut dibimbing jurulatih Darus Abdul Wahab yang memiliki kelayakan kejurulatihan AFC B.

Penganjuran kejohanan itu bertujuan memupuk semangat kesukanan, menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim antara organisasi yang mengambil bahagian.

Selain menjadi medan persaingan sihat, kejohanan berkenaan diharap dapat memperkukuh kerjasama antara organisasi, selain memartabatkan sukan bola sepak melalui pertandingan yang berteraskan disiplin dan profesionalisme.-Info X