SANDAKAN: Seramai 800 warga Filipina diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, hari ini.
Kesemua yang diusir pulang itu membabitkan tahanan daripada Depot Imigresen Tawau, Sandakan dan Papar dengan tahanan membabitkan 590 lelaki, 88 wanita dan 122 kanak-kanak.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata program pemindahan tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu menggunakan vessel MV Antonia 1.

“Seramai 269 tahanan warga Filipina daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau juga diusir pulang menerusi Pelabuhan ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bangao, Filipina pada Selasa lalu.
“Ini menjadikan jumlah tahanan warga Filipina yang dihantar pulang minggu ini adalah seramai 1,069 orang,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sandakan di sini, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, seramai 5,357 tahanan warga Filipina sudah dihantar pulang ke negara asal sejak Januari sehingga hari ini.
Katanya, enam lagi siri penghantaran pulang tahanan warga Filipina akan dilaksanakan dengan sasaran kira-kira 800 orang setiap minggu.

“Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan di depot, selain memberi ruang kepada agensi penguatkuasa untuk mempertingkat operasi membanteras pendatang asing.
“Kita berharap kerjasama daripada kedutaan untuk mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan bagi membolehkan tahanan yang layak dihantar pulang segera,” katanya.
Mengenai keadaan depot di negeri ini, SH Sitti Saleha berkata, depot sedia ada sudah melalui proses penambahbaikan dan kerja menaiktaraf bagi memastikan kemudahan berkenaan memenuhi spesifikasi ditetapkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Katanya, hanya Depot Imigresen Tawau yang belum diserahkan kepada Jabatan Imigresen berikutan kelewatan kontraktor menyiapkan projek menaik taraf. – Info X
