LABUAN: Tindakan seorang remaja lelaki yang disyaki mencuri wang tabung masjid membawa kepada penahanannya sekali gus membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah di sekitar pulau ini.
Suspek berusia 19 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi Op Pintu/Kesan, Rabu lalu.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan kehilangan wang tabung di Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru, pada 20 Oktober lalu.
Katanya, kejadian berkenaan membabitkan kerugian kira-kira RM150.
“Hasil operasi dijalankan, polis berjaya menahan suspek dan merampas satu unit pemotong besi yang dipercayai digunakan untuk memotong kunci mangga tabung masjid berkenaan.
“Penahanan suspek turut membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah yang dilaporkan berlaku antara 26 September hingga 20 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan media.
Wan Mohd Firdaus berkata, kes terbabit merangkumi kecurian tabung masjid, kecurian di kedai runcit serta pecah rumah di sekitar Lubok Temiang dan Rancha-Rancha.
Menurutnya, keseluruhan kerugian bagi empat kes berkenaan dianggarkan RM3,950.
“Suspek turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.
“Mahkamah Majistret Labuan membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 2 November bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, katanya polis turut menasihatkan masyarakat supaya terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Labuan. – Info X
