SEMPORNA: Tiga individu termasuk dua pelancong warga China cedera selepas bot dinaiki mereka dirempuh sebuah bot pelancong lain di perairan Pulau Singamata, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.12 pagi itu, bot membawa lapan pelancong warga China bersama seorang juragan dan tiga kru berkenaan dipercayai sedang berhenti selepas enjinnya tersangkut sampah.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu bot di sebuah syarikat pelancongan.
Katanya, siasatan awal mendapati bot berkenaan dalam perjalanan dari Jeti Seafest menuju ke Pulau Bohey Dulang sebelum berhenti di perairan Pulau Singamata akibat masalah pada enjin.
“Ketika juragan dan kru sedang berusaha membuang sampah yang tersangkut pada enjin, bot mereka tiba-tiba dirempuh dari arah belakang oleh sebuah bot pelancong lain.
“Rempuhan itu menyebabkan dua pelancong warga China masing-masing lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 28 tahun serta seorang kru bot mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Tan berkata, bot mangsa turut mengalami kerosakan pada bahagian belakang akibat pelanggaran berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, juragan dan seorang kru bot yang melanggar tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala bot mereka juga tidak mengalami kerosakan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu secara gopoh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain,” katanya.
Beliau berkata, Seksyen 337 memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua juragan dan pengendali bot pelancong supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan ketika berada di perairan.
“Pengendali bot perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh menyebabkan kecederaan atau membahayakan nyawa penumpang serta pengguna pengangkutan air lain,” katanya. – Info X
