Search

Jangan panik lihat pesawat TUDM terbang rendah di Labuan

October 26, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Orang ramai di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah sepanjang tiga hari bermula hari ini hingga Rabu.

Penerbangan pada altitud rendah itu adalah sebahagian daripada latihan keupayaan TUDM yang dilaksanakan di ruang udara Labuan bermula 26 hingga 28 Oktober ini, antara jam 4 hingga 5 petang.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, latihan berkenaan membabitkan beberapa aset termasuk pesawat pejuang, pesawat angkut dan helikopter.

Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan bertujuan menilai tahap kesiagaan serta keberkesanan penugasan operasi semasa TUDM.

“Sepanjang tempoh latihan, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal pada altitud rendah.

“Sehubungan itu, orang ramai di sekitar Labuan dinasihatkan supaya tidak panik atau cemas sekiranya melihat pesawat terbang rendah sepanjang latihan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Latihan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha TUDM memastikan kesiapsiagaan aset dan keupayaan operasi berada pada tahap optimum. – Info X