KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diarah mengemukakan pelan pemulihan realistik dan berkesan bagi menyiapkan pakej kerja yang mengalami kelewatan.
Menerusi satu kenyataan, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata arahan itu berikutan kemajuan fizikal projek bagi Fasa 1A yang setakat ini hanya mencapai 89.54 peratus berbanding 96.32 peratus yang dijadualkan.
“Pelan ini perlu merangkumi langkah memperkukuh keupayaan di tapak melalui penambahan jentera, tenaga kerja dan waktu operasi bagi mempercepat pelaksanaan kerja.
“KKR turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap prestasi pelaksanaan projek yang tidak mencapai sasaran,” kata kenyataan itu yang dipetik dari laman Facebook KKR.
KKR turut menekankan tindakan kontraktual yang tegas, termasuk penguatkuasaan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (Liquidated Ascertained Damages, LAD), akan diambil jika kontraktor gagal memenuhi obligasi dan sasaran yang ditetapkan mengikut peruntukan kontrak.
Dalam masa yang sama, katanya penyelarasan di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran pelaksanaan, termasuk isu ketersediaan tapak dan pengalihan utiliti.
KKR turut menegaskan komitmennya bagi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dilaksanakan mengikut jadual dengan pematuhan terhadap tatakelola dan syarat kontrak yang ditetapkan.
“Usaha ini penting bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan mampu menyokong pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya.
Komitmen itu ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bil 10/2026 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KKR bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, di sini, pada Rabu.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Khairus Masnan Abdul Khalid dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Zul Hadi Ahmad.

Dalam kenyataan yang sama, KKR turut menyatakan mengambil serius penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Katanya, setiap kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani melalui langkah penambahbaikan segera, khususnya dalam aspek pengurusan projek, pemantauan kemajuan kerja dan pematuhan tatakelola.
“KKR komited untuk memastikan setiap tindakan pemulihan dilaksanakan secara berkesan, dengan pemantauan rapi dan pematuhan tatakelola yang telus, demi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya untuk manfaat rakyat Sabah,” katanya. – Info X
