KUDAT: Seorang lelaki warga Filipina yang dilaporkan terjatuh ke laut dari sebuah bot nelayan di Jeti Ko-Nelayan, di sini, malam tadi, ditemukan lemas, hari ini.
Mangsa berusia lingkungan 20-an itu ditemukan pasukan nelayan yang melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 10.20 pagi tadi, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan mendapati seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke dalam laut dari kapal yang sedang berlabuh di jeti berkenaan.
“Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu terlebih dahulu berusaha mencarinya dengan menyelam di sekitar jeti dan lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal menemukan mangsa sebelum pasukan bomba bersama polis menjalankan pencarian di permukaan air sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Darikson berkata, operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada jam 11.10 malam berikutan keadaan persekitaran yang gelap.

Menurutnya, operasi disambung semula pada jam 9.20 pagi tadi dengan menggunakan bot penyelamat bomba bagi mencari mangsa di sekitar kawasan jeti.
“Pada jam 10.20 pagi, mangsa berjaya ditemukan pasukan nelayan yang melakukan selaman di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat serta bantuan beberapa agensi lain itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi. – Info X
