Search

Masiung setuju loji tenaga nuklear dibangun di Sabah

November 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan negeri boleh bekerjasama membangunkan tenaga nuklear bagi memenuhi keperluan tenaga pada masa depan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata sudah tiba masanya Malaysia melangkah ke fasa pembangunan tenaga nuklear sesuai kerangka negara yang bakal muncul sebagai negara maju menjelang 2030.

Beliau berkata, Sabah bersedia menawarkan cadangan sebagai hab pangkalan pertama program nuklear berimpak tinggi itu.

“Kerajaan Sabah dan Persekutuan boleh menjalinkan kerjasama membangunkan program nuklear berkenaan.

“Usaha itu boleh diterjemahkan menerusi rundingan di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Sabah dan Semenanjung pilihan paling praktikal untuk dibangunkan loji tenaga nuklear bagi dekad akan datang jika negara bersetuju mengenai cadangan baharu itu.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Tranformasi Air berkata, di Sarawak masalah tenaga tidak timbul kerana Hidroelektrik Bakun menyumbang 70 peratus di wilayah berkenaan.

Masiung yang juga ADUN Kuamut berkata, keupayaan bekalan tenaga elektrik di negeri ini semakin meruncing dan masih jauh mengimbangi kemajuan utiliti di Semenanjung.

Katanya, negara boleh memulakan projek menggunakan Tenaga Nuklear Terapung – (Floating Nuclear Power Plant (FNPP) dengan kos lebih fleksibel dan tempoh pembinaan lebih pantas sesuai bagi Sabah yang mempunyi garis pantai yang luas.

Beliau berpandangan, tenaga elektrik negara tidak boleh terus bergantung kepada bahan bakar fosil susulan kekangan sumber arang batu dan gas asli yang sebahagianya terpaksa diimport dari luar negara.

Tegasnya, pergolakan geopolitik di selat Hormuz dan ketidaktentuan global yang semakin meruncing menuntut keperluan mendesak negara merangka strategi tenaga jangka panjang.

“BBC melihat kerajaan Sabah harus bersedia menghadapi lonjakan permintaan tenaga elektrik menjelang 2031dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar gas asli dan diesel dengan pasaran global yang tidak menentu.

“Perbelanjaan kos penggunaan loji FNPP lebih rendah dan kurang berisiko serta pembinaan lebih terkawal berbanding loji konvensional di daratan,” katanya.

Beliau berharap cadangan membangunkan nuklear FNPP di Sabah dapat diterjemahkan melalui rundingan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Jelasnya, cadangan projek tenaga nuklear adalah salah satu jalan penyelesaian strategik bagi mengurangkan pelepasan karbon secara besar-besaran. – Info X