Search

Murid 11 tahun parah dilanggar kereta ketika melintas ke sekolah

October 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang murid lelaki berusia 11 tahun cedera parah selepas dilanggar kereta ketika melintas di laluan pejalan kaki di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, murid berkenaan mengalami pendarahan di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Likas untuk menerima rawatan di Zon Merah Jabatan Kecemasan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Waja dipandu lelaki berusia 69 tahun dari arah pekan Manggatal menuju ke CKS Manggatal.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, murid berkenaan sudah mula melintas menggunakan laluan pejalan kaki dari arah kanan ke kiri jalan raya.

“Bagaimanapun, disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kereta berkenaan gagal mengelak lalu melanggar murid terbabit di lorong kanan jalan.

“Akibat pelanggaran itu, murid berkenaan tercampak ke hadapan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mazlan Mursalam di talian 012-3036605 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Terdahulu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian murid berkenaan dilanggar kereta ketika melintas jalan tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman itu, murid terbabit dilihat baru turun dari sebuah Perodua Bezza di seberang jalan sebelum berjalan melintasi laluan zebra untuk ke sekolah.

Bagaimanapun, ketika melintas jalan, sebuah kereta dari arah pekan Manggatal melanggarnya sehingga tercampak ke hadapan.

Kejadian itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial selepas rakaman berkenaan dikongsikan secara meluas. – Info X