Search

Pemandu maut, kenderaan rempuh pokok

October 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kedai Chan Furniture, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, Lee Eman, 44, dari Kampung Tambalugu, Tuaran, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa yang memandu Mitsubishi Triton bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari arah Tebobon menuju ke pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Kenderaan berkenaan kemudian terbabas sendiri sebelum melanggar pokok di bahu kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu tersepit dan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan pada jam 1.31 pagi.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Shahrudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X