KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Pendakwa Raya diberi kebebasan untuk membuat pendakwaan terhadap mana-mana kes, termasuk membabitkan ahli politik atau pemimpin, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang tanpa campur tangan pihak lain.
Beliau berpandangan, Pendakwa Raya mesti bebas daripada pengaruh kuasa Eksekutif tetapi pada masa yang sama bertanggungjawab terhadap Parlimen.
Katanya, beliau mengalu-alukan cadangan untuk melibatkan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya dan mewajibkan laporan tahunan dikemukakan kepada Parlimen, namun pengawasan Parlimen tidak seharusnya terhad kepada kedua-dua langkah berkenaan.
“Sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang perlu diberikan kuasa untuk meneliti dasar, pentadbiran, perbelanjaan serta prestasi keseluruhan institusi Pendakwa Raya.
“Pada masa yang sama, Parlimen tidak boleh mencampuri urusan kes-kes individu. Tiada ahli politik, sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, boleh menentukan siapa yang patut didakwa atau pertuduhan terhadap siapa yang perlu digugurkan.
“Pendakwa Raya mesti bebas dalam membuat keputusan pendakwaan tetapi tetap bertanggungjawab terhadap pengurusan institusinya. Kebebasan tidak boleh sekali-kali bermaksud bebas daripada kebertanggungjawaban,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau yang mengalu-alukan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, berkata langkah itu penting ke arah memperkukuh kedaulatan undang-undang dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu berkata pengasingan kedua-dua jawatan itu tidak secara automatik menjamin kebebasan Pendakwa Raya.
“Apa gunanya kedua-dua jawatan ini diasingkan sekiranya pengaruh dan campur tangan politik masih boleh berlaku? Kita tidak seharusnya sekadar mengubah struktur pentadbiran sedangkan masalah yang sama terus berlarutan.
“Selama bertahun-tahun, pelbagai persoalan telah dibangkitkan mengenai kebebasan sistem pendakwaan negara, khususnya apabila sesuatu kes melibatkan ahli politik, individu berpengaruh atau mereka yang mempunyai hubungan dengan kerajaan.
“Rakyat mesti yakin bahawa keputusan untuk mendakwa atau menggugurkan sesuatu pertuduhan dibuat berdasarkan bukti dan undang-undang, bukannya atas pertimbangan politik,” katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berkata proses pelantikan Pendakwa Raya juga mesti adil dan telus, dengan jaminan tempoh perkhidmatan serta perlindungan kukuh daripada tekanan politik atau pemecatan secara sewenang-wenang.
Tegasnya, segala jaminan dan perlindungan mesti diperuntukkan dengan jelas dalam perlembagaan dan undang-undang, bukannya bergantung kepada budi bicara atau niat baik mana-mana Perdana Menteri atau kerajaan.
“Ukuran sebenar kebebasan Pendakwa Raya ialah sama ada undang-undang boleh dikuatkuasakan terhadap mereka yang berkuasa, sebagaimana ia dikuatkuasakan terhadap rakyat Malaysia biasa.
“Jika seorang pemimpin kerajaan melanggar undang-undang, Pendakwa Raya mesti bebas untuk mengambil tindakan. Prinsip yang sama juga mesti terpakai kepada pemimpin pembangkang. Tidak boleh ada dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan, pembaharuan itu mesti dirangka supaya dapat bertahan melangkaui pentadbiran kerajaan hari ini kerana kerajaan datang dan pergi tetapi kebebasan sistem keadilan negara mesti terus terpelihara.
Sehubungan itu, Shafie menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen supaya memastikan pembaharuan yang dicadangkan benar-benar menjamin kebebasan Pendakwa Raya, menyediakan perlindungan undang-undang yang kukuh serta mewujudkan mekanisme kebertanggungjawaban yang berkesan kepada Parlimen.
“Kita tidak mahu Pendakwa Raya yang hanya bebas pada nama tetapi hakikatnya masih dikawal oleh mereka yang berkuasa. Kita mahukan sebuah institusi yang menjunjung undang-undang, bukannya berkhidmat untuk kepentingan kerajaan yang memerintah.
“Akhirnya, apa yang rakyat Malaysia mahukan ialah sebuah sistem keadilan yang boleh dipercayai, di mana setiap orang dilayan secara sama rata tanpa mengira kedudukan, hubungan politik atau pengaruh politik. Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang,” katanya. – Info X
