Search

Proses pemasangan menara sementara bermula hari ini – Sabah Electricity

November 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peralatan untuk memasang menara sementara Emergency Restoration System (ERS) sudah tiba di lokasi menara elektrik tumbang di Ranau, awal pagi tadi.

Berdasarkan maklumat disalurkan melalui Facebook Sabah Electricity Careline, peralatan yang dimuatkan dalam sebuah kontena itu tiba di lokasi berkenaan pada jam 1 pagi tadi.

“Ketibaan peralatan ini satu lagi perkembangan penting dalam usaha pemulihan laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.

“Pasukan teknikal Sabah Electricity terus digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja persediaan sebelum pemasangan menara ERS dimulakan, dengan mengutamakan aspek keselamatan serta pematuhan prosedur kerja yang ditetapkan.

“Segala usaha terus dipergiatkan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas,” katanya.

Sabah Electricity menetapkan tempoh enam hari yang bermula hari ini hingga 2 Disember depan bagi memulihkan sepenuhnya sistem grid Sabah yang menghantar bekalan ke kawasan pantai timur.

Sepanjang tempoh itu, 153,599 pengguna berdaftar di tujuh daerah terjejas di pantai timur akan dibekalkan tenaga menerusi pengakifan grid pantai timur menggunakan janakuasa sedia ada di Tawau dan Sandakan dengan sokongan janakuasa mudah alih yang digerakkan ke semua kawasan terjejas.

Sabah Electricity memberi jaminan pemulihan bekalan tenaga sementara dilaksanakan secara berperingkat dengan catuan antara sejam hingga dua jam di semua kawasan pantai timur sehingga sistem grid Sabah dapat disambung sepenuhnya pada 2 Disember depan.

Tujuh daerah di pantai timur terputus bekalan elektrik iaitu Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau apabila menara talian penghantaran 275 kV dari Kolopis ke Segaliud tumbang pada kira-kira jam 6 pagi semalam.

Menara bertanda T313 itu tumbang disebabkan hakisan tebing Sungai Liwagu di Ranau akibat arus deras berikutan hujan berterusan, kelmarin. – Info X