KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap seorang pekerja ladang kelapa sawit selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya gara-gara pertengkaran berkaitan wang RM20 pada Januari 2025.
Pesuruhjaya Kehakiman, Ratanah Devi Yusof Perumal menjatuhkan hukuman itu terhadap Risdi Baharuddin, 29, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Tertuduh warga Indonesia diperintah menjalani hukuman penjara berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 31 Januari 2025.
Lelaki yang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Risdi menyebabkan kematian Jiecy Rondian, yang juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 30 Januari 2025 di rumah kongsi pekerja Ladang Sawit Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat, Jalan Ulu Bongawan, Papar.
Pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan terhadap tertuduh memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Risdi pada asalnya didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan di kawasan rumah kongsi pekerja ladang berkenaan kira-kira jam 8.10 malam, 30 Januari 2025.
Siasatan mendapati mangsa dan tertuduh bekerja di ladang yang sama serta tinggal bersama isteri masing-masing di rumah kongsi berhampiran.
Pada hari kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dengan mangsa berhubung wang RM20 yang dipinjam tertuduh daripada isteri mangsa.
Mangsa dikatakan menyindir tertuduh mengenai wang berkenaan sehingga pertengkaran menjadi tegang, sebelum beberapa individu di kawasan rumah kongsi cuba meleraikan mereka.
Keadaan reda buat seketika selepas kedua-duanya dinasihati supaya pulang ke rumah masing-masing, namun pertengkaran berlaku semula sebelum tertuduh masuk ke rumahnya dan mengambil sebilah pisau berhulu kayu berukuran kira-kira 27 sentimeter dari dalam bilik.
Walaupun cuba dihalang isterinya, tertuduh tetap keluar sambil membawa pisau berkenaan dan meluru ke arah mangsa.
Isteri mangsa yang berada di hadapan rumah ketika itu memeluk suaminya dari belakang kerana ketakutan, sebelum tertuduh menikam mangsa beberapa kali pada bahagian badan sehingga mangsa berlumuran darah dan rebah.
Bagaimanapun, mangsa sempat bangun dan mengambil sebilah sabit dari dapur rumah sebelum keluar semula, manakala seorang pekerja ladang kemudian menyambut mangsa yang hampir rebah dan membaringkannya di atas tanah.
Mangsa kemudiannya didapati meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tertuduh melarikan diri dari kawasan rumah kongsi selepas kejadian sebelum ditahan polis pada 31 Januari 2025 di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Siasatan kes dikendalikan Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan. – Info X
