TAMBUNAN: Sabah Karate Association (SKA) Penampang muncul juara keseluruhan Kejohanan Karate Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-27 selepas meraih 15 pingat emas, 14 perak dan 17 gangsa.
Kejayaan itu turut diserikan dengan pencapaian dua atletnya, Dafne Henry Saimpon dan Jeremiah Jorge Jason Jiliko, yang masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik dan Atlet Lelaki Terbaik kejohanan.
Kejohanan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tambunan dari 22 hingga 25 Oktober itu menyaksikan SKA Penampang mendahului pungutan pingat keseluruhan, mengatasi kelab karate lain yang mengambil bahagian.
Dafne mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih dua pingat emas dan satu perak dalam tiga acara yang disertainya.
Beliau memenangi emas dalam acara kumite individu kategori lebih 30 kilogram bagi umur sembilan hingga 10 tahun serta acara kata berpasukan kategori lanjutan bagi umur tujuh hingga 12 tahun.
Dafne turut meraih pingat perak dalam acara kata individu kategori lanjutan bagi umur sembilan hingga 10 tahun.
Sementara itu, Jeremiah turut mencatat pencapaian membanggakan apabila membawa pulang dua pingat emas dan satu perak selain dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik kejohanan.
Beliau memenangi emas dalam acara kata individu peringkat pertengahan bagi kategori umur 11 hingga 13 tahun serta acara kata berpasukan bagi umur lapan hingga 12 tahun.
Jeremiah turut menyumbang pingat perak menerusi acara kumite individu bawah 40 kilogram.
Kejayaan kedua-dua atlet itu menyerlahkan potensi bakat muda SKA Penampang dalam sukan karate, sekali gus menyumbang kepada pencapaian keseluruhan kelab berkenaan.
SKA Penampang dibimbing jurulatih, Sensei Grace Tiwon, yang melatih atlet kelab itu untuk menghadapi kejohanan berkenaan.
Pencapaian tersebut diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet muda SKA Penampang untuk terus meningkatkan prestasi dan mengharumkan nama kelab serta daerah dalam kejohanan karate akan datang.-Info X
