October 31, 2026
Info X Reporters
Nekad terjun sungai selamatkan pelancong, sembilan pemuda terima penghargaan
TUARAN: Keberanian sembilan remaja yang nekad terjun ke sungai berarus deras bagi menyelamatkan dua pelancong wanita daripada lemas di Tamparuli, awal bulan ini, mendapat pengiktirafan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini. Kesemua mereka diraikan dalam satu majlis penghargaan khas yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, bersama seorang kakitangan stesen minyak yang berjaya memadamkan kebakaran membabitkan sebuah motosikal di Penampang. Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Zon Kota Kinabalu, Johari Dzulkiflie, serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Putatan. Dalam kejadian pada 1 Oktober lalu, dua pelancong wanita berdepan detik cemas apabila Perodua Bezza dinaiki mereka dihanyutkan arus deras ketika melalui Jambatan Low Level Crossing Tamparuli atau dikenali sebagai Jambatan Solungkoi. Menyedari nyawa kedua-dua wanita itu dalam bahaya, sembilan pemuda tempatan bertindak pantas terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka. Tindakan berani itu berjaya menyelamatkan kedua-dua pelancong sebelum kenderaan dinaiki mereka tenggelam sepenuhnya. Sembilan individu yang menerima penghargaan ialah Danny Effnndy Voo, Abdul Rafi Abdullah, Mackdoleno Solimin, Dr Ebon Gansoi, Jafrin Bakrin, Ramlan Suhaji, Martin Gumpangang, Hettni Tono Prianto dan Cornelius Gukod yang juga rakan media. Sementara itu, seorang kakitangan stesen minyak Shell Donggongon, Penampang, Noor Emelya Abdul Latif turut menerima penghargaan atas tindakan pantasnya memadamkan kebakaran di sebuah pam minyak pada 16 Mac lalu. Dalam kejadian itu, sebuah motosikal terbabit dalam kebakaran sebelum Noor Emelya bertindak menggunakan alat pemadam api mudah alih bagi mengawal api. Kecekapan dan ketenangannya mengendalikan situasi kecemasan itu berjaya memadamkan kebakaran dalam masa singkat, sekali gus mengelakkan api daripada merebak. Pada majlis sama, Pasukan Bomba Sukarela Pantai Dalit, Tuaran turut menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka membantu masyarakat ketika kecemasan. Pasukan berkenaan turut menerima sumbangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi menyokong usaha mereka dalam operasi kecemasan dan meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran. Penghargaan itu menjadi simbol pengiktirafan terhadap keberanian orang awam yang sanggup bertindak membantu menyelamatkan nyawa tanpa mengharapkan sebarang balasan. – Info X
October 30, 2026
Info X Reporters
Lebih 3,000 ketua isi rumah sertai program Kebun Dapur
KOTA KINABALU: Lebih 3,000 ketua isi rumah di luar bandar dan pedalaman Sabah mengusahakan Kebun Dapur di perkarangan rumah masing-masing menerusi inisiatif Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), setakat ini. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata perkembangan itu menunjukkan sambutan positif terhadap program berkenaan yang turut melahirkan usahawan kecil dalam kalangan peserta. Beliau berkata, selepas 10 bulan pelaksanaannya, ramai ibu dan ketua isi rumah bukan saja mengusahakan tanaman untuk kegunaan sendiri, malah mula menjual hasil tanaman kepada jiran sehingga permintaan semakin meningkat. “Malahan, ada yang sudah mengusahakan tanaman di kawasan seluas beberapa ekar hasil daripada pengalaman pertama mereka menerusi program Kebun Dapur. “Setakat ini, statistik yang saya terima daripada Jabatan Pertanian Sabah selaku penyelaras program menunjukkan lebih 3,000 ketua isi rumah di luar bandar dan kawasan pedalaman sudah mengusahakan Kebun Dapur di perkarangan rumah masing-masing,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Agro-Forum 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat. Jamawi berkata penyertaan 13 mentor Kebun Dapur dalam forum berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan muda sektor pertanian untuk mengetengahkan produk masing-masing menerusi pameran dan jualan. Katanya, usaha itu perlu diperluaskan supaya lebih ramai anak muda yang berjaya dalam bidang pertanian dapat diketengahkan, selain dibantu dari segi pemasaran dan peluang kerjasama. Beliau berkata, penyertaan kira-kira 13 negara dalam program Big Sabah Sale di SICC turut membuka ruang kepada mentor berkenaan untuk mengembangkan jaringan perniagaan dan kerjasama dengan peserta antarabangsa serta pengunjung. “Kita bukan mahu setakat 13 mentor ini sahaja. Pada masa akan datang, kita mahu kalau boleh berpuluh-puluh atau beratus-ratus lagi usahawan yang berjaya dalam bidang pertanian dapat diketengahkan dan dibantu dari segi pemasaran,” katanya. Sementara itu, Jamawi berkata inisiatif Kebun Dapur Sabah turut mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang melancarkan program Kebun Kendiri di peringkat Persekutuan bulan lalu. Katanya, konsep dan pelaksanaan program berkenaan hampir sama dengan inisiatif yang dilaksanakan di Sabah. Beliau berkata, program Kebun Dapur bukan saja membantu meningkatkan keterjaminan makanan, malah mengurangkan kebergantungan kepada makanan import serta meningkatkan kadar sara diri (SSL) bagi produk pertanian utama yang masih bergantung kepada bekalan luar negara. – Info X
October 30, 2026
Info X Reporters
Status 13 projek JALB Sabah yang ditangguh perlu penjelasan – Ewon
PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan perlu memberi penjelasan lanjut berhubung status pelaksanaan 13 projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah yang ditangguhkan Surat Setuju Terima (SST). Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata penjelasan itu penting bagi memberi kepastian sama ada projek berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya. Beliau berkata, penjelasan tambahan masih diperlukan walaupun sudah disentuh oleh Menteri Kewangan II pada penggulungan Belanjawan 2027 dan sebelumnya oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. “Apapun penjelasan, saya fikir Ahli-Ahli Parlimen dan rakyat Sabah, rakyat Sarawak serta rakyat Semenanjung juga memerlukan penjelasan tambahan. “Bagi saya selaku Ahli Parlimen Penampang, kita mahu penjelasan mengenai status 13 projek yang Surat Setuju Terimanya ditangguhkan. Apa status jalan ini sekarang? “Saya telah bertanya sama ada ia dibatalkan atau dibawa ke tahun berikutnya untuk pelaksanaan, tetapi belum ada penjelasan setakat ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan projek naik taraf Jalan Terian dan Jalan Buayan, di sini, pada Jumaat. Ewon berkata, 13 projek terbabit perlu diteruskan kerana sudah lama dirancang dan dikemukakan oleh pelbagai pihak, termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil rakyat. “Pada saya, kita mahu projek ini diteruskan sama ada tahun hadapan ataupun tahun yang berikutnya kerana kita sudah lama merancang. Unit Perancang Ekonomi Negeri, JKR dan wakil-wakil rakyat mengemukakannya banyak kali dalam pelbagai platform. “Jadi, kita tidak boleh pinggirkan hak rakyat yang menanti kemudahan jalan raya luar bandar,” katanya. Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen dari pihak kementerian berkaitan bagi memperjelas status projek yang terlibat dalam penangguhan SST itu. Katanya, perkara itu bukan sahaja melibatkan Sabah, malah turut memberi kesan kepada projek di Sarawak dan Semenanjung. Ewon berkata, sekiranya projek yang sudah diluluskan itu tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini disebabkan kekangan peruntukan, keutamaan sewajarnya diberikan untuk pelaksanaannya pada tahun depan. “Kita mahu projek yang telah dipersetujui dan diluluskan ini dapat diteruskan. Kalau tidak pada tahun ini kerana faktor peruntukan, sepatutnya ada ruang untuk diberikan keutamaan bagi dilaksanakan pada tahun hadapan. “Ini pendirian dan pandangan saya selaku Ahli Parlimen Penampang, yang juga bercakap mewakili kawasan saya (Kadamaian) kerana ada satu projek jalan luar bandar yang terkesan akibat penangguhan SST,” katanya. – Info X
October 30, 2026
Info X Reporters
KOPAN rancang program seni nasyid di sekolah dengan kerjasama JPNS
KOTA KINABALU: Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN) merancang untuk menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk memperkasa seni nasyid di negeri ini bermula di peringkat sekolah. Pengerusinya, Mohd Nazri Saidali, berkata cadangan itu disuarakan pihaknya menerusi kunjungan hormat ke Sektor Pendidikan Islam, JPNS, di sini, bagi membincangkan kerjasama strategik itu, baru-baru ini. Katanya, pada kunjungan hormat itu, beliau mengetengahkan empat cadangan program utama yang berpotensi dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama JPNS dan sekolah. “Antara cadangan itu ialah mengadakan Mini Akademi Nasyid Sabah yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat melalui latihan vokal, harmoni, penciptaan lagu, penulisan lirik dan produksi muzik. “Selain itu, KOPAN turut mencadangkan penganjuran Pertandingan Nasyid Etnik Sabah sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu, di samping mengangkat keunikan budaya dan identiti masyarakat Sabah melalui seni nasyid yang kreatif serta bersesuaian. “Cadangan ketiga ialah Projek Lagu Nasyid Pendidikan Sabah, yang memberi fokus kepada penghasilan karya bertemakan adab, pembentukan sahsiah, perpaduan, semangat menuntut ilmu dan penghormatan kepada guru serta ibu bapa. “Karya-karya itu berpotensi dimanfaatkan dalam program sekolah, aktiviti kokurikulum dan pelbagai inisiatif pembangunan murid, tertakluk kepada kesesuaian serta kelulusan pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Jumaat. Sementara itu, katanya Bengkel Penjurian Nasyid turut dicadangkan bagi meningkatkan pengetahuan dan profesionalisme juri melalui latihan berkaitan teknik pemarkahan, penilaian vokal, penghayatan lagu, kualiti muzik serta etika pengadilan pertandingan. Beliau berkata, keempat-empat program itu dirangka sebagai satu ekosistem pembangunan nasyid yang saling melengkapi, bermula daripada latihan dan pencungkilan bakat, penghasilan karya, penganjuran pertandingan hinggalah kepada peningkatan kualiti penjurian. Katanya, pendekatan bersepadu itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada guru dan pelajar untuk mengembangkan potensi dalam bidang seni nasyid, sekali gus melahirkan generasi yang kreatif, berdisiplin dan mempunyai nilai sahsiah yang baik. “KOPAN turut berharap pertemuan itu menjadi langkah awal kepada kerjasama yang lebih erat dengan JPNS dan pihak sekolah dalam membangunkan program nasyid yang tersusun, berimpak serta berterusan di Sabah. “Melalui usaha ini, KOPAN berhasrat untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam pembangunan bakat, penciptaan karya dan pemerkasaan industri nasyid tempatan, khususnya dalam sektor pendidikan. “KOPAN Memperkasa Nasyid — Melahirkan Bakat, Mengangkat Budaya, Membina Generasi,” katanya.-Info X
October 30, 2026
Info X Reporters
Tiga parah, enam cedera nahas empat kenderaan
SANDAKAN: Tiga individu parah manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Petron Taman Tshun Ngen, Batu 5, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira 11.47 pagi itu, kemalangan membabitkan Toyota Vios, Proton Saga, pacuan empat roda Isuzu D-Max dan lori Isuzu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi. Katanya, jentera bomba tiba pada 11.53 pagi dan mendapati kesemua sembilan mangsa sudah keluar dari kenderaan masing-masing dengan bantuan orang awam. “Kesemua mangsa mengalami kecederaan, dengan tiga daripadanya parah manakala enam lagi cedera ringan. “Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum melakukan kerja pembersihan sisa minyak di atas jalan raya bagi mengelakkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Menurutnya, antara mangsa yang parah ialah dua wanita masing-masing berusia 34 dan 61 tahun serta seorang lagi wanita yang identitinya belum dikenal pasti. “Dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan lapan tahun turut terbabit dalam kemalangan itu dan mengalami trauma. “Operasi yang turut dibantu KKM, APM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan pada 12.27 tengah hari selepas keadaan di lokasi disahkan selamat,” katanya.-Info X
October 30, 2026
Info X Reporters
Projek naik taraf Jalan Buayan dan Terian dijangka siap ikut jadual – Ewon
PENAMPANG: Projek naik taraf Jalan Buayan dan Jalan Terian, di sini, dijangka siap mengikut jadual, masing-masing pada Ogos 2027 dan Mei 2028. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata ia berdasarkan prestasi projek ketika ini yang masing-masing mendahului jadual sebanyak 45 dan 58 hari. Beliau berkata, projek naik taraf Jalan Buayan dengan peruntukan sebanyak RM73.868 juta setakat ini mencapai kemajuan 76.64 peratus, manakala projek naik taraf Jalan Terian yang bernilai RM99.395 juta mencapai kemajuan 57.83 peratus. Setakat ini, katanya tiada sebarang lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan bagi projek naik taraf Jalan Buayan, manakala satu EOT bagi Jalan Terian. Berikutan itu, katanya beliau berpuas hati dengan pencapaian projek itu setakat ini dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. “Saya bersama-sama ADUN Moyog, Datuk Donald Mojuntin berpuas hati dengan kemajuan kedua-dua projek yang mendahului jadual ini. “Kami mewakili rakyat Penampang, khususnya komuniti di mukim ini, berharap kedua-dua projek dapat diteruskan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, iaitu pada Mei 2028 bagi Jalan Terian dan Ogos 2027 bagi Jalan Buayan,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di kedua-dua projek berkenaan, di sini, pada Jumaat. Turut menyertai tinjauan itu ialah wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Sabah serta Majlis Perbandaran Penampang. Ewon berkata, prestasi semasa kedua-dua projek memberikan keyakinan pelaksanaannya dapat diselesaikan mengikut jadual. “Berdasarkan prestasi semasa, kami yakin kedua-dua projek ini dapat disiapkan mengikut jadual tersebut,” katanya. Beliau merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kementerian Kewangan dan KKDW selaku kementerian yang bertanggungjawab menyediakan peruntukan serta melaksanakan kedua-dua projek itu. “Di kawasan ini terdapat dua buah sekolah, iaitu SK Terian dan SK Buayan. Sebuah lagi sekolah terletak kira-kira 12 kilometer dari sini iaitu SK Longkogungan. Ini bermakna terdapat tiga buah sekolah yang akan menikmati manfaat kemudahan jalan raya ini,” katanya. Katanya, kemudahan itu nanti bakal memberikan keselesaan kepada sekitar 3,000 penduduk di Kampung Terian, Tiku, Buayan dan Longkogungan. “Dengan adanya jalan raya yang lebih baik, komuniti setempat dapat membangunkan tanah mereka untuk kegiatan pertanian dan pelancongan. “Apabila aktiviti pelancongan dan ekonomi di kawasan ini berkembang, sudah tentu ribuan lagi pengunjung akan menggunakan jalan raya ini,” katanya. – Info X
October 30, 2026
Info X Reporters
18 pesawat FA-50M ganti Hawk, perkukuh pertahanan udara negara
LABUAN: Sebanyak 18 pesawat pejuang ringan FA-50M yang diperoleh Malaysia daripada Korea Aerospace Industries (KAI), Korea Selatan, akan menggantikan pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dijadual ditamatkan perkhidmatannya pada 2028. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan bernilai hampir RM4 bilion itu dimeterai pada 2023 dan menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara. Beliau berkata, pesawat FA-50M bukan sahaja berfungsi sebagai pesawat latihan juruterbang pejuang, malah mampu melaksanakan operasi pemintasan serta pelbagai tugasan tempur ringan mengikut keperluan semasa. “Dua pesawat pertama dijadualkan tiba di Malaysia hari ini selepas berlepas dari Sacheon, Korea Selatan, melalui Jeju dan Laoag, Filipina. “Bagaimanapun, masalah teknikal menyebabkan hanya sebuah pesawat dapat meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara Labuan hari ini, manakala sebuah lagi dijangka tiba seawal esok,” katanya ketika menyaksikan penghantaran pesawat berkenaan di Pangkalan Udara Labuan, di sini, hari ini. Katanya, ketibaan pesawat FA-50M turut diiringi formasi enam pesawat TUDM yang terdiri daripada dua Su-30MKM, dua F/A-18D Hornet dan dua Hawk. “Ini satu detik yang sangat bermakna kepada negara kerana pesawat pejuang ini mempunyai keupayaan lebih baik berbanding pesawat Hawk yang kita gunakan sebelum ini. “Pesawat FA-50M yang diperoleh juga dilengkapi pelbagai peralatan dan sistem persenjataan bagi melaksanakan operasi udara-ke-udara serta udara-ke-darat,” katanya. Beliau berkata, Malaysia dijangka menerima enam pesawat FA-50M sebelum April 2027, manakala keseluruhan 18 pesawat itu dijadualkan diterima sepenuhnya pada Mac 2028. Katanya, pesawat berkenaan akan dikendalikan No. 15 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Kuantan dengan persediaan pengoperasian melibatkan keperluan anggota, kejuruteraan, operasi dan juruterbang. “Daripada keseluruhan 209 anggota yang diperlukan, seramai 127 anggota sudah tersedia setakat ini, manakala pengisian baki keperluan akan dilaksanakan secara berperingkat selaras dengan penerimaan pesawat. “Dalam aspek pembangunan modal insan, seramai 57 anggota teras TUDM sudah mengikuti latihan di Korea Selatan, terdiri daripada enam juruterbang, enam pegawai kejuruteraan dan 45 juruteknik. “Kesemua enam juruterbang dalam kumpulan latihan awal itu turut menamatkan program latihan penerbangan pada 21 Oktober 2026,” katanya. Beliau berkata, Pesawat FA-50M ialah pesawat supersonik dua tempat duduk yang menggabungkan keupayaan latihan penerbangan lanjutan dan operasi tempur ringan. “Varian Malaysia turut dilengkapi sistem serta teknologi penerbangan moden bagi meningkatkan keupayaan operasi, termasuk pelaksanaan misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat. “Program perolehan itu turut merangkumi pakej latihan, penggunaan simulator, peralatan latihan teknikal dan sokongan penyelenggaraan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi pesawat berkenaan,” katanya. Mengulas kemungkinan perolehan tambahan, Mohamed Khaled berkata, kerajaan sememangnya memerlukan lebih banyak pesawat pejuang jenis itu, namun keputusan mengenai jumlah dan jenis pesawat akan ditentukan selepas penilaian terhadap keperluan operasi serta prestasi kumpulan pertama. Dalam pada itu, beliau berkata, pengukuhan pertahanan di Sabah turut menjadi keutamaan kerajaan dan bukan semata-mata sebagai reaksi terhadap langkah pertahanan negara jiran. “Malaysia akan terus memperkukuh keupayaan keselamatan negara, khususnya di Sabah, termasuk menentukan penempatan pesawat pejuang selepas pesawat Hawk ditamatkan perkhidmatannya. “Selain itu, kerajaan turut memutuskan untuk menyediakan radar pesisir pantai baharu di Sabah serta meningkatkan keupayaan radar pertahanan udara di Labuan dan Pulau Layang-Layang. “Jumlah anggota keselamatan di Sabah yang kini sekitar 10,000 orang juga akan ditingkatkan, selain pembangunan kem baharu dan menaik taraf kem sedia ada,” katanya. – Info X
October 30, 2026
Info X Reporters
Botol hijau bongkar kegiatan air ketum, tiga warga asing ditahan
TAWAU: Kehadiran polis di kawasan rumah pekerja sebuah kilang batu bata di Jalan Stesen TV, di sini, Rabu lalu, membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing selepas sebotol cecair disyaki air ketum ditemukan di atas meja. Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, ketiga-tiga lelaki berusia antara 23 hingga 31 tahun berada berhampiran meja berkenaan sebelum pemeriksaan polis menemukan botol plastik berwarna hijau berisi cecair keperangan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Pondok Polis Kawasan (PPK) Kinabutan dan PPK Titingan bersama Strike Team Balai Polis Tawau hasil maklumat awam. Katanya, pemeriksaan di kawasan rumah pekerja kilang batu bata itu membawa kepada penemuan cecair disyaki air ketum dengan anggaran sebanyak 1,000 mililiter (ml). “Botol plastik berwarna hijau itu ditemukan di atas meja di hadapan ketiga-tiga suspek ketika pemeriksaan dijalankan. “Cecair berwarna keperangan di dalam botol berkenaan disyaki air ketum dan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, semakan awal mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Menurutnya, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. “Polis memandang serius sebarang kegiatan menyalahi undang-undang dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati terbabit,” katanya. Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan kegiatan sedemikian selain menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pencegahan jenayah. – Info X
