October 30, 2026
Info X Reporters
Enam individu disyaki terbabit kegiatan maksiat ditahan dalam serbuan hotel bajet
TAWAU: Enam individu disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah dikesan dalam operasi bersepadu polis bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di beberapa hotel dan premis penginapan bajet sekitar bandar ini. Operasi menerusi Op Cegah Maksiat/Pelacuran itu membabitkan pemeriksaan lapan premis penginapan di Jalan Bakau, Jalan Masjid, Jalan Dunlop dan Jalan Bunga. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama JHEAINS Daerah Tawau. Katanya, pemeriksaan tertumpu kepada hotel dan premis penginapan bajet bagi mengesan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang. “Selain memeriksa lesen perniagaan premis, pasukan operasi turut menjalankan pemeriksaan dokumen pengenalan diri individu yang menyewa bilik. “Hasil pemeriksaan, empat individu dikesan dalam pemeriksaan pertama, manakala dua lagi ditemukan dalam pemeriksaan seterusnya,” katanya dalam kenyataan. Rosdi berkata, kesemua enam individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah. Menurutnya, mereka kemudian diserahkan kepada JHEAINS untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan. “Operasi bersepadu ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan polis bersama agensi penguat kuasa bagi membendung kegiatan yang menyalahi undang-undang. “Kerjasama antara agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya. Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan penguatkuasaan. – Info X
October 30, 2026
Info X Reporters
Remaja 19 tahun curi tabung masjid diberkas, empat kes jenayah selesai
LABUAN: Tindakan seorang remaja lelaki yang disyaki mencuri wang tabung masjid membawa kepada penahanannya sekali gus membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah di sekitar pulau ini. Suspek berusia 19 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi Op Pintu/Kesan, Rabu lalu. Ketua Polis Labuan, Superintendan Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan kehilangan wang tabung di Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru, pada 20 Oktober lalu. Katanya, kejadian berkenaan membabitkan kerugian kira-kira RM150. “Hasil operasi dijalankan, polis berjaya menahan suspek dan merampas satu unit pemotong besi yang dipercayai digunakan untuk memotong kunci mangga tabung masjid berkenaan. “Penahanan suspek turut membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah yang dilaporkan berlaku antara 26 September hingga 20 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan media. Wan Mohd Firdaus berkata, kes terbabit merangkumi kecurian tabung masjid, kecurian di kedai runcit serta pecah rumah di sekitar Lubok Temiang dan Rancha-Rancha. Menurutnya, keseluruhan kerugian bagi empat kes berkenaan dianggarkan RM3,950. “Suspek turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing. “Mahkamah Majistret Labuan membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 2 November bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sementara itu, katanya polis turut menasihatkan masyarakat supaya terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Labuan. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
800 warga Filipina diusir pulang, 1,069 dihantar pulang minggu ini
SANDAKAN: Seramai 800 warga Filipina diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, hari ini. Kesemua yang diusir pulang itu membabitkan tahanan daripada Depot Imigresen Tawau, Sandakan dan Papar dengan tahanan membabitkan 590 lelaki, 88 wanita dan 122 kanak-kanak. Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata program pemindahan tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu menggunakan vessel MV Antonia 1. “Seramai 269 tahanan warga Filipina daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau juga diusir pulang menerusi Pelabuhan ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bangao, Filipina pada Selasa lalu. “Ini menjadikan jumlah tahanan warga Filipina yang dihantar pulang minggu ini adalah seramai 1,069 orang,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sandakan di sini, hari ini. SH Sitti Saleha berkata, seramai 5,357 tahanan warga Filipina sudah dihantar pulang ke negara asal sejak Januari sehingga hari ini. Katanya, enam lagi siri penghantaran pulang tahanan warga Filipina akan dilaksanakan dengan sasaran kira-kira 800 orang setiap minggu. “Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan di depot, selain memberi ruang kepada agensi penguatkuasa untuk mempertingkat operasi membanteras pendatang asing. “Kita berharap kerjasama daripada kedutaan untuk mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan bagi membolehkan tahanan yang layak dihantar pulang segera,” katanya. Mengenai keadaan depot di negeri ini, SH Sitti Saleha berkata, depot sedia ada sudah melalui proses penambahbaikan dan kerja menaiktaraf bagi memastikan kemudahan berkenaan memenuhi spesifikasi ditetapkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Katanya, hanya Depot Imigresen Tawau yang belum diserahkan kepada Jabatan Imigresen berikutan kelewatan kontraktor menyiapkan projek menaik taraf. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
Enam suspek terbabit rompakan, pecah rumah miliki 75 rekod jenayah diberkas
KOTA KINABALU: Enam lelaki yang mempunyai keseluruhan 75 rekod jenayah dan dadah diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan rompakan berkumpulan bersenjata serta pecah rumah di beberapa daerah di Sabah. Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan menerusi operasi khas Op Casa/Op Pintu yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan dipercayai terbabit dalam 17 kes jenayah sejak Januari hingga Ogos lalu dengan jumlah kerugian dianggarkan RM304,500. Katanya, kegiatan kumpulan itu mula dikesan susulan dua kejadian rompakan berkumpulan bersenjata dan pecah rumah yang berlaku secara berasingan di sekitar Kota Kinabalu pada Ogos lalu. “Susulan kejadian itu, satu pasukan petugas khas ditubuhkan pada September bagi menjalankan risikan dan operasi mengesan suspek yang terbabit. “Hasil operasi, polis berjaya menahan enam suspek yang mempunyai keseluruhan 75 rekod jenayah membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Jauteh berkata, modus operandi kumpulan berkenaan adalah menyasarkan rumah kediaman mewah yang tidak berpenghuni untuk melakukan kegiatan pecah rumah. Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu turut menggunakan kekerasan dengan senjata tajam bagi menakutkan penghuni sekiranya terdapat individu di dalam rumah ketika kejadian. “Siasatan lanjut mendapati kumpulan ini terbabit dalam 17 kes rompakan berkumpulan bersenjata, pecah rumah, curi dan pencerobohan rumah di beberapa daerah di Sabah. “Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk jam tangan mewah, beg tangan berjenama, peralatan elektronik, kereta, peralatan memancing dan peti besi,” katanya. Menurutnya, beberapa lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang dijalankan. Beliau berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah bagi mendapatkan arahan pertuduhan. “Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok (30 Oktober) mengikut beberapa peruntukan undang-undang. “Antaranya Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan berkaitan rompakan berkumpulan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. Jauteh berkata, pertuduhan lain turut membabitkan Seksyen 457, 411, 414 dan 447 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. Katanya, kejayaan operasi berkenaan sekali gus menumpaskan satu kumpulan jenayah yang aktif melakukan rompakan bersenjata dan pecah rumah di negeri ini. “Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan jenayah. “Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat bagi membantu polis membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa,” katanya. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
Hak 40 peratus Sabah: Tarikh keputusan rayuan Kerajaan Persekutuan ditentukan pada 12 November
KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan menetapkan 12 November depan untuk sebutan pengurusan kes rayuan Kerajaan Persekutuan berkaitan kelayakan hak 40 peratus Sabah dan menetapkan tarikh keputusan rayuan selepas prosiding pendengaran kes hari ini. Pada prosiding hari ini, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) tampil di hadapan Mahkamah Rayuan bagi menentang rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kelayakan 40 peratus Sabah pada 17 Oktober 2025. Menerusi satu kenyataan, Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata pada prosiding hari ini, Mahkamah Rayuan mendengar hujahan dari semua pihak, namun belum membuat sebarang keputusan. Katanya, SLS kekal teguh dalam mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober tahun lalu dan pelepasan yang diberikan bagi menyelesaikan isu pembayaran bagi ‘tahun yang hilang’ iaitu tempoh antara 1974 hingga 2021. Kerajaan Persekutuan, katanya menyatakan dalam Notis Rayuan bahawa ia tidak merayu terhadap formula 40 peratus atau keperluan untuk menyemak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. “Bagaimanapun, rayuannya mencabar penemuan substantif dan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan tahun yang hilang, proses semakan, relief berbangkit dan bidang kuasa Mahkamah Tinggi. “Ini adalah isu yang perlu ditentukan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya. Katanya, pendirian SLS adalah jelas, iaitu peruntukan perlembagaan yang mentadbir hak Sabah mempunyai tugas yang mesti dipenuhi. “Kami kekal bahawa tahun yang hilang mesti diselesaikan menerusi proses yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, disokong kaedah yang berkesan bagi pelanggaran yang dikesan oleh Mahkamah Tinggi. “Prosiding ini menyentuh mengenai perlindungan perlembagaan yang membawa kesan berpanjangan bagi Sabah dan rakyatnya. “SLS akan terus mengendalikan kes ini dengan persiapan, kebebasan dan tekad yang sewajarnya berdasarkan kepentingannya. Kami memulakan prosiding ini dwmi kepentingan awam, memperoleh remwdi di Mahkamah Tinggi dan kini mempertahankan keputusan itu di peringkat rayuan. “Ini adalah komitmen institusi yang berterusan oleh SLS untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya. Pada prosiding rayuan itu, SLS diwakili peguam David Fung Yin Kee, Jeyan TM Marimuttu, Janice Junie Lim, Grace Liew Yung Enn dan Vanessa Maria Marimuttu. Mohamed Nazim berkata, SLS menghormati peranan mahkamah dalam menentukan rayuan itu dan menegaskan SLS kekal teguh dengan tekadnya bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dilaksanakan secara praktikal. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
Tekong terjun laut elak ditahan, tinggal 200,000 batang rokok seludup
TAWAU: Seorang tekong bot sanggup terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas bot laju dikendalikannya mengalami kerosakan enjin ketika dikejar di perairan Kampung Titingan, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, suspek meninggalkan bot bersama muatan 200,000 batang rokok putih tidak bercukai dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan RM190,000. Pengarah Maritim Zon Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot terbabit dikesan dalam keadaan bergelap ketika pihaknya menjalankan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris. Katanya, bot laju berkenaan dikesan bergerak dari arah sempadan perairan negara pada kedudukan kira-kira 1.35 batu nautika barat daya Sungai Tawau. “Sebaik diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, tekong bot bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek bagi mengelak ditahan. “Bagaimanapun, ketika dikejar, bot berkenaan mengalami kerosakan enjin menyebabkan tekongnya bertindak terjun ke laut dan meninggalkan bot bersama semua muatannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ariffin berkata, keadaan perairan yang cetek selain suasana gelap menyukarkan usaha anggota penguat kuasa mengesan suspek yang melarikan diri. Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 20 kotak besar mengandungi kira-kira 200,000 batang rokok putih dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran. “Nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM160,000 termasuk cukai, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin dan muatan berjumlah RM190,000,” katanya. Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. “Maritim Malaysia akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan barangan tidak bercukai, khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah di perairan Tawau diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi IPMZ Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
Pemandu lori maut tercampak selepas terbabas
PAPAR: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 36, Jalan Kimanis – Keningau, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 50 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu lori jenis Isuzu secara bersendirian dari arah Keningau menuju ke Tuaran. Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian yang mempunyai laluan berbukit, curam dan berselekoh, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit. “Lori terbabit kemudian terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum mangsa dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan. “Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Heryan berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 12.20 tengah hari sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Papar dikejarkan ke lokasi. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya. Beliau turut menasihatkan pemandu khususnya kenderaan berat supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan berbukit dan berselekoh. “Pemandu perlu memastikan sistem brek, tayar dan komponen keselamatan kenderaan berada dalam keadaan baik serta menggunakan gear bersesuaian ketika menuruni bukit. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi BSPT IPD Papar atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
Dakwaan cubaan culik kanak-kanak di Pasar Ikan Tuaran tidak benar – Polis
TUARAN: Polis mengesahkan tiada unsur penculikan dalam kejadian seorang kanak-kanak didakwa cuba diculik di Pasar Ikan Tuaran, di sini, semalam. Kejadian yang tular di media sosial itu sebenarnya membabitkan seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan kesihatan mental yang memasuki sebuah kenderaan dinaiki kanak-kanak berkenaan sebelum cuba menyentuhnya. Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan mendapati tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi berjaya membantu kanak-kanak terbabit. “Kanak-kanak berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan selamat. “Berdasarkan hasil siasatan setakat ini, tiada bukti menunjukkan kejadian itu mempunyai unsur penculikan seperti yang didakwa dalam maklumat tular,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Noraidin berkata, lelaki terbabit juga sudah diambil oleh ahli keluarganya dan kini selamat di bawah penjagaan mereka. Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya sentiasa mengawasi keselamatan anak-anak terutama ketika berada di tempat awam. “Jangan meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan walaupun untuk tempoh yang singkat. “Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya sehingga boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya. Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan. Terdahulu, tular maklumat di media sosial mengenai dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak di kawasan Pasar Ikan Tuaran, semalam, sehingga mendapat perhatian pihak polis. – Info X
