October 29, 2026
Info X Reporters
Kerajaan negeri sasar capai KDNK RM100 bilion menjelang 2030
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggerakkan pelbagai langkah yang dirancang untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM100 bilion menjelang 2030. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sasaran itu digariskan bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini. Katanya, kerajaan negeri sudah mengenal pasti industri yang mahu dibangunkan, pelaburan yang ingin ditarik dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong usaha berkenaan. “Kini, keutamaan adalah untukmemastikan semua perancangan ini dilaksanakan. Antara keperluan terpenting bagi pembangunan industri di Sabah ialah bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mampu milik. “Apabila pelabur menimbangkan untuk membina kilang atau menjalankan operasi berskala besar di Sabah, mereka perlu mengetahui sama ada kita mampu menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, berapa kosnya serta bila bekalan itu dapat disediakan. “Ini persoalan praktikal yang memerlukan jawapan jelas. Pelabur tidak boleh mengoperasikan kilang hanya berdasarkan janji bekalan tenaga pada masa hadapan, mereka perlu mengetahui apa yang kita mampu sediakan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) bersama EDGE Summit, di sini, pada Khamis. Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Hajiji berkata, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Sabah, meskipun negeri ini sedang membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh baharu. “Kita perlu mengimbangi keperluan tenaga Sabah yang semakin meningkat dengan kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar. “Terdapat keputusan sukar yang perlu dibuat, namun keputusan ini mesti diambil dengan teliti sekiranya kita mahu Sabah terus kekal berdaya saing,” katanya. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri merekodkan kemajuan yang menggalakkan ke arahmemperkukuh penyertaan Sabah dalam sektor tenaga. Katanya, menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS pada Disember 2021, kerajaan negeri berjaya memperoleh peranan lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas. “Baru-baru ini, Pelan Pembekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang yang dibentangkan kepada kerajaan negeri pada September lalu mengunjurkan bekalan gas Sabah berpotensi meningkat daripada kira-kira 700 juta kaki padu standard sehari kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari menjelang 2030. “Cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah juga membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di wilayah berkenaan. “Perkembangan ini amat menggalakkan dan apa yang penting sekarang ialah memastikan projek-projek berkenaan dilaksanakan seperti dirancang dan manfaat yang dijangkakan dapat direalisasikan,” katanya. Ketua Menteri turut memuji prestasi kewangan SEC dan usaha syarikat itu mengembangkan operasinya ke bidang baharu menerusi Agenda Transformasi Tenaga Progresif (PETA 2030). Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1981, SEC berkembang menjadi antara syarikat tenaga terpenting di Sabah dengan peranan yang semakin besar dalam pembekalan, pengangkutan dan pengagihan gas. Hajiji menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi Kerajaan Negeri yang lain supaya mencontohi usaha SEC dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah. “Setiap agensi Kerajaan Negeri dan GLC mempunyai peranan penting masing-masing. Namun, walaupun setiap organisasi menunjukkan prestasi yang baik secara individu, ia tidak semestinya bermakna kita mencapai hasil yang baik secara keseluruhan. “Penyelarasan yang baik antara agensi dan GLC amat diperlukan, khususnya apabila tanggungjawab mereka saling berkait dalam menyokong sesuatu pelaburan besar,” katanya. Beliau berkata, Sabah tidak boleh membiarkan agensi-agensinya terus bekerja secara berasingan sehingga menyebabkan pelabur terpaksa menunggu dan peluang pelaburan beralih ke tempat lain. “Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, terutama ketika Sabah bersaing dengan destinasi pelaburan lain. “Oleh itu, saya berharap agensi Kerajaan negeri dan GLC akan terus memperkukuh kerjasama, berkongsi maklumat serta menyelesaikan masalah secara bersama, bukannya membiarkan sempadan organisasi melambatkan pelaksanaan sesuatu perkara,” katanya. Mengenai persidangan itu, Hajiji berharap idea dan pandangan yang dikongsi dapat diterjemahkan kepada penambahbaikan praktikal, kerjasama strategik baharu serta kaedah kerja yang lebih berkesan. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
Latihan tsunami di Lahad Datu, orang ramai diminta tidak panik
LAHAD DATU: Orang ramai khususnya penduduk di sekitar Kampung Telisai Tungku, Pulau Sakar dan Teluk Darvel diminta tidak panik apabila melihat pergerakan anggota keselamatan, kenderaan kecemasan serta operasi mencari dan menyelamat pada 4 November ini. Ini kerana semua aktiviti berkenaan adalah sebahagian daripada Program Latih Amal Bencana Tsunami (TTX & FTX) Zon Lahad Datu yang dijadualkan berlangsung pada Rabu depan. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, latihan itu bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi kemungkinan bencana tsunami. Katanya, latihan berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkemas komunikasi, penyelarasan operasi serta kerjasama antara agensi keselamatan dan penyelamat. “Pergerakan anggota, kenderaan kecemasan serta aktiviti mencari dan menyelamat di lokasi terbabit hanyalah sebahagian daripada simulasi latihan yang dirancang. “Aktiviti ini tidak menandakan berlakunya kejadian tsunami sebenar. Masyarakat diminta kekal tenang dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh menimbulkan kebimbangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Dzulbaharin berkata, beberapa jalan dan kawasan yang terbabit dengan latihan berkenaan akan ditutup sementara bagi memastikan keselamatan orang ramai serta kelancaran operasi. “Bagaimanapun, perincian lokasi dan tempoh penutupan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa. “Orang ramai turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan petugas di lokasi,” katanya. Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan berita palsu, spekulasi atau rakaman latihan yang disertakan dengan maklumat tidak tepat. “Penyebaran maklumat mengelirukan dikhuatiri boleh menimbulkan keresahan dan menjejaskan ketenteraman awam. “Sebarang maklumat berkaitan latihan hendaklah disemak melalui saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dikongsi kepada orang ramai,” katanya. Beliau turut berharap semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan latihan berkenaan berjalan lancar, selamat dan teratur. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
Polis kesan penyelewengan 6,000 liter diesel subsidi di Tawau
TAWAU: Kegiatan disyaki menyeleweng kira-kira 6,000 liter minyak diesel bersubsidi menggunakan kad fleet terbongkar hasil pemantauan dan risikan polis di sekitar Jalan Sin San, di sini. Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kes berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau, hari ini, untuk tindakan lanjut. KPDN Tawau dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya turut menyita sebuah lori tangki jenis Nissan bersama minyak diesel berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM125,420. Menurutnya, kes berkenaan diserahkan kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Tawau selepas polis menjalankan pemantauan dan risikan di kawasan terbabit. “Hasil serahan itu, KPDN Tawau membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kesalahan disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi. “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan barang kawalan,” menurut kenyataan itu, hari ini. KPDN memaklumkan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya. Selain itu, pesalah juga boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. “Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. “KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyelewengan atau penyalahgunaan minyak diesel bersubsidi,” menurut kenyataan itu. Sehubungan itu, KPDN Tawau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan demi melindungi kepentingan rakyat dan negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui portal e-Aduan KPDN atau menghubungi KPDN Tawau di talian 089-776690. – Info X
October 29, 2026
Info X Reporters
JKR, kontraktor Pan Borneo diarah kemuka pelan pemulihan siapkan projek
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diarah mengemukakan pelan pemulihan realistik dan berkesan bagi menyiapkan pakej kerja yang mengalami kelewatan. Menerusi satu kenyataan, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata arahan itu berikutan kemajuan fizikal projek bagi Fasa 1A yang setakat ini hanya mencapai 89.54 peratus berbanding 96.32 peratus yang dijadualkan. “Pelan ini perlu merangkumi langkah memperkukuh keupayaan di tapak melalui penambahan jentera, tenaga kerja dan waktu operasi bagi mempercepat pelaksanaan kerja. “KKR turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap prestasi pelaksanaan projek yang tidak mencapai sasaran,” kata kenyataan itu yang dipetik dari laman Facebook KKR. KKR turut menekankan tindakan kontraktual yang tegas, termasuk penguatkuasaan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (Liquidated Ascertained Damages, LAD), akan diambil jika kontraktor gagal memenuhi obligasi dan sasaran yang ditetapkan mengikut peruntukan kontrak. Dalam masa yang sama, katanya penyelarasan di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran pelaksanaan, termasuk isu ketersediaan tapak dan pengalihan utiliti. KKR turut menegaskan komitmennya bagi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dilaksanakan mengikut jadual dengan pematuhan terhadap tatakelola dan syarat kontrak yang ditetapkan. “Usaha ini penting bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan mampu menyokong pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya. Komitmen itu ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bil 10/2026 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KKR bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, di sini, pada Rabu. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Khairus Masnan Abdul Khalid dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Zul Hadi Ahmad. Dalam kenyataan yang sama, KKR turut menyatakan mengambil serius penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Katanya, setiap kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani melalui langkah penambahbaikan segera, khususnya dalam aspek pengurusan projek, pemantauan kemajuan kerja dan pematuhan tatakelola. “KKR komited untuk memastikan setiap tindakan pemulihan dilaksanakan secara berkesan, dengan pemantauan rapi dan pematuhan tatakelola yang telus, demi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya untuk manfaat rakyat Sabah,” katanya. – Info X
October 28, 2026
Info X Reporters
Tiga lelaki terbabit pergaduhan di restoran dihadap ke mahkamah
LAHAD DATU: Tiga lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, pada Rabu atas dua pertuduhan kerana terbabit dalam insiden pergaduhan di sebuah restoran, di sini, pada 24 Oktober lalu. Seorang daripada mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (Bab 80), manakala dua lagi masing-masing berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan. Pertuduhan mengikut Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (Bab 80) kerana tertuduh didakwa mengancam dengan meninggikan suara dan bergaduh mulut terhadap seorang pekerja wanita di restoran terbabit hingga menimbulkan rasa takut. Dua tertuduh yang masing-masing didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan pula kerana bergaduh di tempat awam. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali. Dalam insiden pada 24 Oktober lalu, sekumpulan individu melakukan rusuhan di sebuah restoran di pusat bandar Lahad Datu hingga menyebabkan kecederaan. Berikutan itu, enam individu yang disyaki terbabit dalam insiden itu ditahan polis, dengan tiga daripada mereka didakwa di mahkamah pada Rabu. – Info X
October 28, 2026
Info X Reporters
Hak 40 peratus: Jika pungutan bersih RM10 bilion, bahagian Sabah RM4 bilion setahun – Madius
KOTA KINABALU: Hak 40 peratus hasil bersih Sabah perlu dilaksanakan dengan penjelasan mengenai jumlah sebenar yang perlu dibayar dan garis masa pembayarannya. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata jika jumlah hasil dikutip di Sabah bagi 2022 hingga 2024 sekitar RM10 bilion setahun, maka hak 40 peratus Sabah yang perlu dibayar ialah RM4 bilion. Katanya, anggaran itu berdasarkan jawapan Kementerian Kewangan pada Persidangan Dewan Rakyat yang menganggarkan kutipan hasil sekitar RM10 bilion setahun dari Sabah. “Jika jumlah pungutan bersih Persekutuan dari Sabah ialah sekitar RM10 bilion setahun, maka 40 peratus daripada jumlah itu bersamaan RM4 bilion setahun. “Persoalan rakyat ialah, apakah lagi alasan atau isu yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk terus menangguhkan pembayaran hak 40 peratus Sabah?” katanya dalam kenyataan media pada Rabu. Berdasarkan jawapan Kementerian Kewangan, anggaran hasil berkenaan merangkumi bayaran tunai hasil petroleum sebanyak lima peratus serta hasil cukai langsung dan tidak langsung yang lain. Bagaimanapun, jawapan itu tidak memperincikan pecahan hasil bagi setiap tahun atau kaedah pengiraan jumlah berkenaan. Madius berkata rakyat Sabah memerlukan penjelasan yang terang mengenai pengiraan hak pemberian khas itu, termasuk jumlah sebenar yang perlu dibayar serta tempoh pelaksanaannya. Beliau turut mempersoalkan alasan yang masih digunakan untuk menangguhkan pembayaran hak berkenaan, memandangkan isu 40 peratus terus menjadi perhatian dalam hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah. – Info X
October 28, 2026
Info X Reporters
RM17 juta untuk program ruminan Sabah tahun ini
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM17 juta bagi melaksanakan Projek Ruminan Sabah pada tahun ini dengan sasaran meningkatkan produktiviti ternakan lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing menerusi penggunaan baka lebih berkualiti. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata program itu dilaksanakan bagi membantu penternak meningkatkan hasil ternakan memandangkan sebahagian besar masih menggunakan baka lama yang kurang produktif. “Program ini bertujuan menambah baik sektor ternakan ruminan, khususnya lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing melalui penggunaan baka yang lebih berkualiti. “Sebahagian besar penternak kita masih menggunakan baka lama yang kurang produktif. Dengan bantuan ini, kita berharap hasil ternakan mereka dapat ditingkatkan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Ternakan dan Input Ladang Projek Ruminan Sabah 2026 di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Penampang, di sini, pada Rabu. Bantuan ternakan diserahkan kepada 43 penerima yang terdiri daripada 19 peserta ternakan kambing, 22 peserta ternakan lembu pedaging dan dua peserta ternakan lembu tenusu. Jamawi berkata, penerima dipilih dalam kalangan mereka yang mengikuti kursus khusus serta memohon bantuan dan memulakan aktiviti penternakan masing-masing. Beliau berharap semua penerima dapat menjaga ternakan yang dibekalkan dengan baik bagi memastikan baka berkenaan berkembang dan memberi pulangan hasil yang menguntungkan dalam jangka panjang. Katanya, ternakan yang dibekalkan mempunyai potensi pembiakan yang baik, sekali gus membantu meningkatkan jumlah ternakan dan kualiti baka dalam kalangan penternak tempatan. “Penerima bantuan lembu pedaging dan lembu tenusu berpotensi memperoleh kelahiran anak ternakan pertama dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga bulan selepas penjagaan awal, manakala kambing yang dibekalkan berusia setahun hingga setahun dua bulan,” katanya. Beliau berkata program itu akan diteruskan pada tahun depan dengan kuantiti bantuan yang sama dan dirancang berlangsung sehingga 2030. Dalam pada itu, Jamawi berkata pemantauan berterusan akan dilaksanakan oleh pegawai DVS di daerah masing-masing bagi memastikan ternakan dijaga dengan baik dan bantuan digunakan mengikut tujuan ditetapkan. Katanya, penerima juga tertakluk kepada syarat tertentu, termasuk kehilangan wang cagaran sekiranya ternakan mati akibat kecuaian atau dijual tanpa kebenaran pihak jabatan. Mereka yang melanggar syarat berkenaan juga boleh disenarai hitam daripada menyertai program bantuan pada masa hadapan. Hadir sama Pembantu Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Maria David Edick dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Mohd Rashid serta pemilik Eco Yap Fresh Milk, Datuk Yap Yun Fook. – Info X
October 28, 2026
Info X Reporters
Peruntukan projek Jalan Luar Bandar di Sabah, Sarawak tidak dibatalkan – Mustapha
KOTA KINABALU: Kerajaan MADANI tidak membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak seperti didakwa sebelum ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud yang menafikan pembatalan itu, berkata dakwaan berkenaan adalah tidak berasas. Katanya, sebarang dakwaan wajar disertai dengan bukti yang jelas jika ada pihak beranggapan projek terbabit dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan. Tegasnya, projek terbabit hanya ditangguhkan menerusi penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu dan ia tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang sudah diluluskan. “Faktanya, peruntukan asal JALB di peringkat nasional terus meningkat daripada RM2.11 bilion bagi tahun 2026 kepada RM2.27 bilion bagi tahun 2027. “Sebagaimana tercatat dalam rekod, sebelum pentadbiran Kerajaan Madani, peruntukan JALB ini tidak pernah mencecah angka RM1 bilion, peruntukan RM1.09 bilion hanya dimulakan pada tahun 2023. “Ini bukti jelas komitmen pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Mustapha berkata, Kementerian Kewangan juga meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kontraktor JALB. Langkah itu, katanya jelas menunjukkan kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan, sebaliknya menyediakan peruntukan tambahan untuk memastikan komitmen projek sedia ada dapat ditunaikan. “Isu sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan, sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan bayaran kepada kontraktor. “Justeru, arahan penangguhan SST baharu pada 10 September 2026 adalah langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan terus meningkat, bukannya arahan pembatalan menyeluruh projek pembangunan,” katanya. Beliau berkata, kerajaan turut meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang sudah dianugerahkan. Katanya, langkah itu penting bagi memastikan projek sedia ada dapat diteruskan melalui pengurusan kewangan yang lebih teratur, telus dan bertanggungjawab. “Dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menjadi mangsa pemotongan atau pembatalan projek juga tidak boleh dibuat berdasarkan andaian semata-mata. “Mana-mana pihak yang membuat dakwaan sedemikian wajar mengemukakan senarai projek, nilai peruntukan dan status pembatalan sebagai bukti,” katanya. Ahli Parlimen Sepanggar itu, berkata komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah dan Sarawak turut diterjemahkan melalui Belanjawan 2027 yang meningkatkan peruntukan Persekutuan kepada Sabah daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion, manakala Sarawak daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion. Selain itu, katanya RM3.3 bilion turut disediakan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri, termasuk kesinambungan pembangunan jaringan jalan strategik. “Saya ingin menegaskan bahawa pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. “Keperluan memperbaiki jalan luar bandar, meningkatkan keterhubungan dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah tidak pernah dipinggirkan,” katanya. Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan sebanyak 13 projek JLB di Sabah dibatalkan pada tahun ini berdasarkan arahan Ketua Setiausaha Kementerian. – Info X
