Search

Niat bantu mangsa kemalangan, dua beradik pula dilanggar kereta

October 23, 2026

KupiSarawak

TAWAU: Niat dua beradik membantu seorang penunggang motosikal yang terjatuh bertukar tragedi apabila mereka pula dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Batu 15, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, abang berusia 30 tahun patah tangan, manakala adiknya berusia 27 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian bermula apabila motosikal Yamaha ditunggang lelaki berusia 53 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.

Katanya, dua beradik yang menaiki Toyota Hilux kemudian berhenti dan turun daripada kenderaan untuk membantu penunggang motosikal berkenaan.

“Bagaimanapun, sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki dari arah Balung menuju ke bandar Tawau dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan di lokasi kejadian.

“Dua beradik itu tidak sempat menyelamatkan diri lalu dilanggar kereta berkenaan, manakala penunggang motosikal sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, abang masih menerima rawatan di hospital akibat patah tangan, manakala adiknya dibenarkan pulang pagi tadi selepas menerima rawatan.

Katanya, penunggang motosikal pula mengalami lebam pada tangan, kaki kiri dan muka akibat terjatuh, manakala pemandu Perodua Bezza mengadu sakit dada.

“Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Bezza disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Sampel darah pemandu terbabit sudah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Sabah bagi tujuan analisis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. – Info X