Search

PPM rampas rokok seludup, kenderaan bernilai RM350,440

October 23, 2026

KupiSarawak

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan tiga lelaki dan merampas 170,800 batang rokok tidak bercukai dalam dua serbuan berasingan di Kampung Sri Aman, Jalan Jade Batu 3, di sini, awal pagi tadi.

Turut dirampas sebuah Perodua Alza dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk rokok dianggarkan RM350,440.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan Unit Task Force dan Unit Gempur Marin kira-kira jam 2.15 dan 2.30 pagi.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah jeti dan membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 42 tahun.

“Pemeriksaan menemukan 98,400 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai selain sebuah Perodua Alza berwarna hitam.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dalam serbuan pertama dianggarkan RM229,120,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, serbuan kedua di sebuah rumah berhampiran pula membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berusia 42 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 72,400 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai bernilai RM121,320.

“Kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang menjejaskan hasil serta kepentingan ekonomi negara. – Info X