Search

Wanita ditemui di bumbung kondominium tingkat 12 berjaya diselamatkan

October 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita yang ditemui di atas bumbung kondominium 12 tingkat di Jalan Tanjung Aru, di sini, berjaya diselamatkan pasukan bomba, malam tadi.

Wanita berusia lingkungan 20-an berkenaan berjaya ditenangkan selepas dipujuk anggota bomba dengan bantuan teman lelakinya sebelum dibawa ke tempat selamat.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.36 malam.

Katanya, sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang wanita berada di atas bumbung kondominium berkenaan.

“Anggota bomba kemudian berkomunikasi dengan wanita terbabit dan berusaha memujuknya dengan bantuan teman lelaki sehingga berjaya ditenangkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS dengan diiringi seorang anggota polis bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, operasi yang turut dibantu lapan anggota polis itu berjaya dikawal pada jam 9.57 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya tiga minit kemudian. – Info X