Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

October 28, 2026

Info X Reporters

10 ditahan, kompaun dan rampasan cecah RM269,439 di Kunak

KUNAK: Seramai 10 individu ditahan dalam operasi bersepadu di daerah ini, semalam, dengan keseluruhan nilai kompaun, rampasan dan anggaran penalti direkodkan mencecah RM269,439.26. Operasi Gasak Laut dan Operasi Bersepadu Daerah Kunak itu dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan membabitkan 202 pegawai dan anggota daripada 19 jabatan serta agensi penguatkuasaan. Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, pengesanan pemilikan bom ikan serta tindakan terhadap pelbagai kesalahan mengikut bidang kuasa agensi terbabit. Beliau berkata, operasi itu turut menyasarkan kegiatan penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, barang bersubsidi dan tidak bercukai, selain membanteras keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). “Operasi bersepadu ini juga bertujuan memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan serta meningkatkan koordinasi dan perkongsian maklumat antara agensi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Dalam operasi itu, katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan enam individu selepas memeriksa 64 orang, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu atas kesalahan berkaitan dadah selepas memeriksa 12 premis dan 60 individu. “Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah pula mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM170,000 hasil pemeriksaan terhadap 10 premis perniagaan membabitkan 45 pekerja. “Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas rokok dengan anggaran nilai termasuk duti sebanyak RM30,939.26 selepas memeriksa enam premis,” katanya Sementara itu, Victor berkata, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas kabel elektrik seberat tujuh kilogram yang dianggarkan bernilai RM3,000 selepas memeriksa 22 rumah. “Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) pula merampas sembilan enjin pump boat, sebuah enjin sangkut dan sebuah bot dengan anggaran nilai keseluruhan RM10,000. “Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenal pasti lima kes disyaki melakukan kesalahan untuk siasatan lanjut, dengan anggaran penalti maksimum RM50,000, tertakluk kepada hasil siasatan dan proses perundangan. “Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan kompaun RM5,000 dan satu notis pematuhan, manakala Majlis Daerah Kunak mengeluarkan kompaun RM500 terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen sah,” katanya. Menurutnya, ESSCOM akan terus mempergiat operasi seumpamanya selaras dengan prinsip ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan pantai timur Sabah terus terpelihara. “Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM menerusi talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072,” katanya. – Info X

October 28, 2026

Info X Reporters

Pendakwa Raya mesti bebas buat pendakwaan, termasuk kes babitkan ahli politik, pemimpin – Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Pendakwa Raya diberi kebebasan untuk membuat pendakwaan terhadap mana-mana kes, termasuk membabitkan ahli politik atau pemimpin, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang tanpa campur tangan pihak lain. Beliau berpandangan, Pendakwa Raya mesti bebas daripada pengaruh kuasa Eksekutif tetapi pada masa yang sama bertanggungjawab terhadap Parlimen. Katanya, beliau mengalu-alukan cadangan untuk melibatkan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya dan mewajibkan laporan tahunan dikemukakan kepada Parlimen, namun pengawasan Parlimen tidak seharusnya terhad kepada kedua-dua langkah berkenaan. “Sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang perlu diberikan kuasa untuk meneliti dasar, pentadbiran, perbelanjaan serta prestasi keseluruhan institusi Pendakwa Raya. “Pada masa yang sama, Parlimen tidak boleh mencampuri urusan kes-kes individu. Tiada ahli politik, sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, boleh menentukan siapa yang patut didakwa atau pertuduhan terhadap siapa yang perlu digugurkan. “Pendakwa Raya mesti bebas dalam membuat keputusan pendakwaan tetapi tetap bertanggungjawab terhadap pengurusan institusinya. Kebebasan tidak boleh sekali-kali bermaksud bebas daripada kebertanggungjawaban,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau yang mengalu-alukan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, berkata langkah itu penting ke arah memperkukuh kedaulatan undang-undang dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu berkata pengasingan kedua-dua jawatan itu tidak secara automatik menjamin kebebasan Pendakwa Raya. “Apa gunanya kedua-dua jawatan ini diasingkan sekiranya pengaruh dan campur tangan politik masih boleh berlaku? Kita tidak seharusnya sekadar mengubah struktur pentadbiran sedangkan masalah yang sama terus berlarutan. “Selama bertahun-tahun, pelbagai persoalan telah dibangkitkan mengenai kebebasan sistem pendakwaan negara, khususnya apabila sesuatu kes melibatkan ahli politik, individu berpengaruh atau mereka yang mempunyai hubungan dengan kerajaan. “Rakyat mesti yakin bahawa keputusan untuk mendakwa atau menggugurkan sesuatu pertuduhan dibuat berdasarkan bukti dan undang-undang, bukannya atas pertimbangan politik,” katanya. Bekas Ketua Menteri itu berkata proses pelantikan Pendakwa Raya juga mesti adil dan telus, dengan jaminan tempoh perkhidmatan serta perlindungan kukuh daripada tekanan politik atau pemecatan secara sewenang-wenang. Tegasnya, segala jaminan dan perlindungan mesti diperuntukkan dengan jelas dalam perlembagaan dan undang-undang, bukannya bergantung kepada budi bicara atau niat baik mana-mana Perdana Menteri atau kerajaan. “Ukuran sebenar kebebasan Pendakwa Raya ialah sama ada undang-undang boleh dikuatkuasakan terhadap mereka yang berkuasa, sebagaimana ia dikuatkuasakan terhadap rakyat Malaysia biasa. “Jika seorang pemimpin kerajaan melanggar undang-undang, Pendakwa Raya mesti bebas untuk mengambil tindakan. Prinsip yang sama juga mesti terpakai kepada pemimpin pembangkang. Tidak boleh ada dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya. Beliau menegaskan, pembaharuan itu mesti dirangka supaya dapat bertahan melangkaui pentadbiran kerajaan hari ini kerana kerajaan datang dan pergi tetapi kebebasan sistem keadilan negara mesti terus terpelihara. Sehubungan itu, Shafie menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen supaya memastikan pembaharuan yang dicadangkan benar-benar menjamin kebebasan Pendakwa Raya, menyediakan perlindungan undang-undang yang kukuh serta mewujudkan mekanisme kebertanggungjawaban yang berkesan kepada Parlimen. “Kita tidak mahu Pendakwa Raya yang hanya bebas pada nama tetapi hakikatnya masih dikawal oleh mereka yang berkuasa. Kita mahukan sebuah institusi yang menjunjung undang-undang, bukannya berkhidmat untuk kepentingan kerajaan yang memerintah. “Akhirnya, apa yang rakyat Malaysia mahukan ialah sebuah sistem keadilan yang boleh dipercayai, di mana setiap orang dilayan secara sama rata tanpa mengira kedudukan, hubungan politik atau pengaruh politik. Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang,” katanya. – Info X

October 28, 2026

Info X Reporters

291 projek pembangunan disiapkan di Sabah tahun ini

KOTA KINABALU: Sebanyak 291 projek pembangunan di Sabah berjaya disiapkan pada tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Katanya, ia termasuk pembinaan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Buit Hill, Penampang. Beliau berkata, prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan bagi tahun ini di Sabah pula meningkat kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober, berbanding 52.07 peratus pada 10 Ogos lalu. Jelasnya, prestasi itu menunjukkan projek pembangunan dibiayai kerajaan Persekutuan di Sabah dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan menerusi komitmen semua pihak berkaitan untuk menjayakannya. “Prestasi itu menunjukkan bahawa kita sebenarnya mampu untuk menjayakan pelaksanaan sesebuah projek dan prestasi positif ini wajar diteruskan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah yang turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad, di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu. Sehubungan itu, Hajiji mahu semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana mempergiat usaha bagi memastikan baki peruntukan pembangunan dapat dimanfaatkan secara optimum sebelum berakhir tahun kewangan 2026. Katanya, perhatian khusus perlu diberikan kepada projek yang mempunyai baki peruntukan besar atau berdepan kekangan pelaksanaan sehingga berisiko mengalami kelewatan atau menjadi projek sakit. Beliau berkata, isu berkaitan kelulusan teknikal, pengambilan tanah, pengalihan utiliti, perolehan dan pengurusan kontrak perlu dikenal pasti serta ditangani secara proaktif melalui penyelarasan berkesan antara agensi terlibat. “Bagi isu rentas kementerian dan agensi, tindakan penyelesaian serta tempoh masa yang jelas perlu ditetapkan dan dipantau sehingga selesai. “Saya ingin menegaskan bahawa setiap peruntukan pembangunan adalah amanah yang mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat. “Peruntukan yang diluluskan seharusnya menghasilkan kemudahan dan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat Sabah,” katanya. Dalam pada itu, Hajiji menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, meningkat berbanding RM17.6 bilion bagi tahun ini. Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pembangunan Sabah, khususnya dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur asas dan kesejahteraan rakyat. Antara projek utama yang diberikan keutamaan, katanya ialah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B selain usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik menerusi projek Sistem STATCOM di Dam Road dan Segaliud, Sandakan serta Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang. Katanya, peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak juga adalah langkah penting untuk meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran serta menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik kepada murid dan pelajar. “Saya mahu agar semua kementerian dan agensi berkaitan mengambil langkah persediaan yang rapi bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut keutamaan serta jadual yang ditetapkan,” katanya. Hajiji turut mengingatkan semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana supaya menjadikan mesyuarat MTPNg sebagai platform untuk mencari penyelesaian terhadap isu pelaksanaan projek, bukan sekadar membincangkan masalah yang dihadapi. “Kita perlu bergerak daripada sekadar membincangkan masalah kepada tindakan yang lebih jelas. Saya yakin melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri serta komitmen seluruh jentera pelaksana, agenda pembangunan Sabah dapat terus dipacu secara mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya. Katanya, kejayaan pembangunan negeri bukan hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan projek dilaksanakan, tetapi sejauh mana pembangunan itu mampu meningkatkan kualiti hidup dan menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah. – Info X

October 28, 2026

Info X Reporters

Pekerja kontraktor maut terkena renjatan elektrik ketika baiki lampu sekolah

KUDAT: Seorang pekerja kontraktor maut akibat terkena renjatan elektrik selepas tangga digunakannya dipercayai tersentuh kabel elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di sebuah sekolah di Batu 1, di sini, pagi ini Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, lelaki warga Filipina berusia 56 tahun berkenaan dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum terjatuh di kawasan luar pintu gerbang sekolah. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan. Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan terbaring di kawasan luar pintu gerbang sekolah ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu. “Berdasarkan maklumat awal, tangga yang digunakan mangsa dipercayai tersentuh kabel elektrik sehingga menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik sebelum terjatuh. “Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Mohd Haris berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kudat untuk tindakan lanjut. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi. Katanya, sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi sebelum menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd bagi memutuskan bekalan elektrik untuk memastikan operasi mengeluarkan mangsa dapat dijalankan dengan selamat. “Mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat pada jam 9.15 pagi selepas bekalan elektrik diputuskan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd. “Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi,” katanya. – Info X

October 27, 2026

Info X Reporters

SKA Penampang ungguli kejohanan karate sekolah rendah Sabah

TAMBUNAN: Sabah Karate Association (SKA) Penampang muncul juara keseluruhan Kejohanan Karate Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-27 selepas meraih 15 pingat emas, 14 perak dan 17 gangsa. Kejayaan itu turut diserikan dengan pencapaian dua atletnya, Dafne Henry Saimpon dan Jeremiah Jorge Jason Jiliko, yang masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik dan Atlet Lelaki Terbaik kejohanan. Kejohanan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tambunan dari 22 hingga 25 Oktober itu menyaksikan SKA Penampang mendahului pungutan pingat keseluruhan, mengatasi kelab karate lain yang mengambil bahagian. Dafne mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih dua pingat emas dan satu perak dalam tiga acara yang disertainya. Beliau memenangi emas dalam acara kumite individu kategori lebih 30 kilogram bagi umur sembilan hingga 10 tahun serta acara kata berpasukan kategori lanjutan bagi umur tujuh hingga 12 tahun. Dafne turut meraih pingat perak dalam acara kata individu kategori lanjutan bagi umur sembilan hingga 10 tahun. Sementara itu, Jeremiah turut mencatat pencapaian membanggakan apabila membawa pulang dua pingat emas dan satu perak selain dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik kejohanan. Beliau memenangi emas dalam acara kata individu peringkat pertengahan bagi kategori umur 11 hingga 13 tahun serta acara kata berpasukan bagi umur lapan hingga 12 tahun. Jeremiah turut menyumbang pingat perak menerusi acara kumite individu bawah 40 kilogram. Kejayaan kedua-dua atlet itu menyerlahkan potensi bakat muda SKA Penampang dalam sukan karate, sekali gus menyumbang kepada pencapaian keseluruhan kelab berkenaan. SKA Penampang dibimbing jurulatih, Sensei Grace Tiwon, yang melatih atlet kelab itu untuk menghadapi kejohanan berkenaan. Pencapaian tersebut diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet muda SKA Penampang untuk terus meningkatkan prestasi dan mengharumkan nama kelab serta daerah dalam kejohanan karate akan datang.-Info X

October 27, 2026

Info X Reporters

Azizah mahu lebih ramai wanita dalam kepimpinan GRS

KOTA KINABALU: Sayap Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu lebih ramai wanita diberi peluang memegang peranan kepimpinan dalam gabungan berkenaan, selain memperkukuh kerjasama dan mendekati masyarakat akar umbi. Menyuarakan perkara itu, Ketuanya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata kerjasama erat antara kepimpinan wanita penting bagi memastikan gerak kerja gabungan itu tersusun dan sampai kepada masyarakat. “Usaha mendekati akar umbi perlu diteruskan supaya suara, keperluan dan aspirasi masyarakat dapat difahami dengan lebih dekat. Wanita di lapangan berperanan menghubungkan kepimpinan parti dengan masyarakat,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS). Azizah berkata, penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan turut membawa pelbagai pandangan dan pengalaman dalam proses membuat keputusan. “Peranan wanita perlu diperkukuh di semua peringkat bagi membantu membina GRS yang lebih kukuh dan inklusif,” katanya. Hadir sama Ketua Wanita PGRS, Datuk Redonah Bahanda; Penolong Setiausaha Wanita PGRS, Fahzean Mohiddin; Bendahari Wanita PGRS, Salmi Sarinoh dan Ketua Penerangan Wanita PGRS, Senator Datuk Anna Bell Perian. Turut serta ialah Timbalan Ketua Penerangan Wanita PGRS, Julia Ahmad Bahrom; Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait dan Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belinda. – Info X

October 27, 2026

Info X Reporters

Rugi RM89.9 juta, Madius minta penjelasan perkembangan kes curi elektrik di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta menjelaskan perkembangan kes kecurian elektrik di Sabah selepas kuasa kawal selia bekalan elektrik diserahkan kepada kerajaan negeri pada 3 Januari 2024. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terhadap pertanyaan lisan beliau di Dewan Rakyat pada 22 Oktober lalu, sebanyak 14,819 kes usikan pepasangan meter dikenal pasti di Sabah pada 2023 dengan anggaran kerugian hasil RM89.9 juta. Beliau berkata jumlah kerugian itu amat besar dan menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan serta perkembangan kes berkenaan selepas penyerahan kuasa kawal selia kepada Sabah. “Persoalan utama saya ialah sama ada kes kecurian elektrik di Sabah telah berkurangan sejak 2024. Jika ya, berapakah pengurangannya dan apakah sasaran yang ditetapkan?” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa. Beliau berkata pertanyaan itu disenaraikan sebagai Soalan No 20 untuk jawapan lisan pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, namun beliau hanya menerima jawapan bertulis berdasarkan kedudukan soalan dalam senarai dan tidak berpeluang mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat. Dalam pertanyaannya , Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO meminta PETRA menyatakan berapakah kes dan kerugian kecurian elektrik bagi 2023-2026 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta sasaran pengurangan, tindakan penguatkuasaan dan penyelarasan data antara Suruhanjaya Tenaga, ECoS dan pengawal selia Sarawak. Berdasarkan jawapan PETRA, katanya Energy Commission of Sabah (ECoS) telah melaksanakan beberapa langkah bagi membanteras kegiatan berkenaan, termasuk intervensi kejuruteraan, serbuan, operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa serta tindakan pendakwaan terhadap kegiatan sambungan elektrik haram. Madius berkata maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan itu perlu disertai statistik terkini bagi menilai keberkesanannya, khususnya jumlah kes dan kerugian hasil bagi 2024, 2025 dan 2026. “Rakyat perlu mengetahui sama ada jumlah kes dan kerugian hasil semakin menurun atau sebaliknya. Kita memerlukan data perbandingan tahunan serta sasaran yang boleh diukur bagi menilai keberkesanan tindakan yang dilaksanakan,” katanya. Beliau berkata kecurian elektrik bukan sahaja mengakibatkan kerugian hasil, malah boleh mengancam keselamatan pengguna, merosakkan pepasangan elektrik dan menjejaskan kestabilan sistem bekalan tenaga. Sehubungan itu, beliau berharap PETRA dapat memberikan penjelasan lanjut mengenai perkembangan kes kecurian elektrik di Sabah selepas 2023, termasuk jumlah kerugian hasil terkini dan pencapaian langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan. “RM89.9 juta ialah jumlah yang besar. Kita perlu mengetahui bukan sahaja tindakan yang diambil, tetapi juga sama ada tindakan itu benar-benar membawa hasil dan melindungi kepentingan rakyat,” katanya. – Info X

October 27, 2026

Info X Reporters

Sabah Electricity lancar projek perintis mobiliti hijau guna motosikal elektrik

KOTA KINABALU: Sabah Electricity melancarkan Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) untuk kegunaan anggota kerja syarikat utiliti itu bermula dengan pembaca jangka atau meter elektrik. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata inisiatif itu bagi mengenal pasti kesesuaian penggunaan kenderaan elektrik untuk meningkatkan kecekapan operasi lapangan, mengoptimumkan perbelanjaan operasi dan menyokong kelestarian alam sekitar. Sebagai permulaan, katanya sebanyak lima unit motosikal elektrik diserahkan kepada anggota kerja di Bahagian Retail Sabah Electricity untuk digunakan pembaca jangka dalam melaksanakan tugasan mereka. “Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha meneroka pendekatan operasi yang lebih lestari melalui potensi pengurangan pelepasan karbon, pengoptimuman kos operasi dan peningkatan kecekapan pergerakan petugas lapangan,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) Sabah Electricity, di sini, pada Selasa. Katanya, anggota kerja pembaca jangka dipilih dipilih sebagai perintis projek EV Bike itu sesuai dengan tugasan mereka yang memerlukan pergerakan kerap ke pelbagai lokasi pelanggan setiap hari. “Ini membolehkan kita menilai kesesuaian penggunaan motosikal elektrik dalam keadaan operasi sebenar,” katanya. Projek perintis itu, katanya adalah sebahagian daripada usaha syarikat meneroka pendekatan baharu untuk meningkatkan produktiviti dan mengurus kos operasi dengan lebih berkesan. Jelasnya, sepanjang tempoh percubaan selama enam hingga 12 bulan, Sabah Electricity akan menilai prestasi motosikal elektrik berkenaan berdasarkan beberapa aspek utama, termasuk kecekapan tenaga, jarak perjalanan, ketahanan bateri, kos penyelenggaraan, keselamatan serta kesesuaiannya dengan keadaan geografi dan keperluan operasi di Sabah. “Penggunaan motosikal elektrik berpotensi mengurangkan penggunaan petrol bagi perjalanan operasi, di samping membuka ruang kepada penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan,” katanya. Beliau turut menegaskan pengalaman anggota kerja yang terbabit memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan projek itu. “Rekod penggunaan, kos, prestasi dan maklum balas pembaca jangka akan dikumpulkan secara teratur bagi memastikan keputusan seterusnya dibuat berdasarkan data dan keperluan operasi sebenar. “Sekiranya hasil penilaian menunjukkan motosikal elektrik berkenaan praktikal, menjimatkan dan sesuai dengan keperluan operasi, Sabah Electricity akan menimbangkan pembelian serta peluasan penggunaannya secara berperingkat ke seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong komitmen Sabah Electricity terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya melalui penerokaan teknologi yang lebih mesra alam dan penggunaan tenaga secara cekap serta bertanggungjawab. “Sabah Electricity berharap projek perintis ini menjadi asas kepada penambahbaikan berterusan dalam operasi syarikat, selaras dengan usaha menyediakan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan sambil meneroka penyelesaian mobiliti yang lebih lestari,” katanya. – Info X